Banjir di Kelantan semakin reda, mangsa berkurangan

Banjir di Kelantan semakin reda, mangsa berkurangan

Sebanyak 20 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

kelantan_banjir_pulih_600
KOTA BHARU:
Keadaan banjir di Kelantan tengah hari ini menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus mencatat penurunan kepada 10,783 orang berbanding 12,064 orang pagi tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, sebanyak 20 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jumlah mangsa teramai ialah di jajahan Pasir Mas, iaitu seramai 6,741 orang daripada 2,608 keluarga yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan, diikuti jajahan Tumpat seramai 4,015 orang daripada 1,286 keluarga yang ditempatkan di 7 pusat pemindahan.

Terdapat 27 orang daripada 5 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya, iaitu 9m, namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.34m berbanding 9.47m pagi tadi.

Paras air Sungai Kelantan pula kini berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.72m berbanding 12.62m pagi tadi (paras bahaya 16m), manakala paras air sungai utama lain kembali ke paras normal.

Keadaan cuaca di negeri itu setakat ini dilaporkan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.