Di Thailand, hukum mati jika penjawat awam rasuah

Di Thailand, hukum mati jika penjawat awam rasuah

Menurut cadangan itu yang akan dibentangkan hari ini, pegawai awam yang terlibat dengan rasuah dan mengakibatkan negara kerugian lebih 1 bilion baht patut dikenakan hukuman mati.

rasuah-thai
BANGKOK:
Penjawat awam di Thailand yang terlibat dengan rasuah boleh dikenakan hukuman mati jika kerajaan menerima pakai cadangan Majlis Pemandu Perubahan Kebangsaan (NRSA) agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

Menurut cadangan itu yang akan dibentangkan hari ini, pegawai awam yang terlibat dengan rasuah dan mengakibatkan negara kerugian lebih 1 bilion baht (RM1 = 7.9 baht), patut dikenakan hukuman mati.

“NRSA akan menimbang cadangan ini pada hari ini,” kata pengerusi majlis itu, Thinnapan Nakata kepada media tempatan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata cadangan berkenaan dijangka menjadi perbahasan hangat dalam kalangan 200 ahli majlis itu.

Cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Pemandu Perubahan Politik NRSA yang dipengerusikan Seree Suwanpanont sebagai sebahagian daripada laporan NRSA tentang pemerhatian dan penilaiannya mengenai kuasa kerajaan.

Katanya, jawatankuasa itu juga mengesyorkan agar pemeriksaan turut dilakukan terhadap pegawai awam sama seperti yang diamalkan bagi ahli politik.

Menurutnya, selain cadangan mengenakan hukuman mati terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan kerana mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian lebih 1 bilion baht, ia juga mengesyorkan mereka yang menyebabkan kerugian kurang daripada jumlah itu dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

Bagi pegawai yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian antara 1 juta dan 10 juta baht, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan penjara 20 tahun sekiranya didapati bersalah mengakibatkan kerugian antara 10 juta dan 100 juta baht, katanya.

Sementara itu, majlis berkenaan juga mencadangkan agar hukuman penjara seumur hidup dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan kerana rasuah dan mengakibatkan kerajaan kerugian berjumlah antara 100 juta dan 1 bilion baht.
Thinnapan berkata sebaik saja cadangan itu diterima pakai NRSA, ia akan dikemukakan kepada Kabinet, Dewan Undangan Kebangsaan (NLA) dan Jawatankuasa Perangka Perlembagaan (CDC) untuk dibincang dengan lebih lanjut.

Cadangan mengenakan hukuman mati terhadap pegawai awam yang mengamalkan rasuah itu dikemukakan sebagai susulan kepada cadangan serupa baru-baru ini bagi ahli politik yang “menjual dan membeli” kedudukan.

Cadangan dikemukakan CDC itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada parti politik.

Pengerusi CDC Meechai Ruchupan dipetik sebagai berkata cadangan hukuman mati itu bertujuan menghalang mereka yang mengamalkan rasuah daripada melibatkan diri dalam bidang politik.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.