MTUC bingung kerajaan tangguh dasar majikan bayar levi

MTUC bingung kerajaan tangguh dasar majikan bayar levi

Solomon mendakwa sesetengah majikan tamak dan eksploitasi memanipulasi orang berpengaruh dalam sistem itu.

Shamsuddin-Bardan-j-solomon
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengakui mereka bingung dengan keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar majikan membayar levi pekerja asing ke tahun depan.

“Kami tidak pasti kenapa Kabinet membuat keputusan itu tanpa berunding dengan rakan sosialnya,” kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon kepada FMT.

“Ini adalah pengajaran buat pekerja tempatan dan asing untuk bersatu dan berdiri di belakang MTUC setiap masa serta bercakap dalam satu nada supaya kerajaan dapat bertindak secara konsisten demi kebaikan semua.”

Beliau memberi amaran kerajaan membina imej antarabangsa yang buruk untuk diri mereka kerana keputusan itu dilihat sebagai kegagalan untuk mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kerajaan tidak akan dapat berkhidmat demi kepentingan rakyat kerana sesetengah majikan tamak dan eksploitasi yang memanipulasi orang berpengaruh dalam sistem itu.”

Solomon berkata, MTUC bersedia menyertai perbincangan dengan kerajaan, majikan dan pekerja untuk menyelesaikan “isu tidak perlu dan tidak produktif” itu.

Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) lega pekerja asing yang akan membayar levi itu sehingga tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, penangguhan itu akan memberi masa kepada majikan memutuskan sama ada mereka mahu terus menggunakan tenaga kerja asing atau beralih kepada penggunaan mesin.

“Kami juga mencadangkan pekerja asing dikehendaki membayar deposit jaminan yang akan dikembalikan apabila mereka pulang ke negaranya.”

Memaksa majikan membayar deposit jaminan lebih tinggi tidak akan menghalang pekerja asing melarikan diri, katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi bulan lalu, apabila beliau mengumumkan Kabinet memutuskan majikan membayar levi pekerja asing .

Tindakan itu menimbulkan bantahan majikan yang membawa kepada pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam di mana Kabinet memutuskan pelaksanaan dasar itu ditangguhkan sehingga 2018.

Shamsuddin juga mahu ejen pekerjaan disingkirkan daripada proses pengambilan pekerja asing.

“Tanpa ejen, kos pengambilan pekerja asing dapat dikurangkan sebanyak 70%,” katanya.

Putrajaya tangguh dasar majikan bayar levi ke tahun depan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.