
Beliau menerangkan bahawa lebih 400 sesi libat urus dijalankan bersama pihak berkepentingan mengenai perkara tersebut, namun perpecahan dalaman MTUC menjadi penghalang kepada perbincangan.
“Apabila kami mengundang mereka untuk berbincang, pasukan A akan menyokong sesuatu langkah manakala pasukan B akan menolak. Apabila pasukan B menyokong, pasukan A pula menolak. Bagaimana kami hendak urus masalah ini?
“Saya tidak mahu bertengkar dengan MTUC. Biar mereka selesaikan masalah sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan ahli Tribunal Pekerja Gig dan Majlis Penasihat Gig.
Pada 30 Mac, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, menggesa Putrajaya menangguhkan penguatkuasaan akta tersebut sementara menunggu semakan tuntas dan rundingan dengan pihak berkepentingan, mendakwa kumpulan pekerja tidak dilibatkan secukupnya.
Akta yang mula berkuat kuasa pada Selasa itu menyediakan perlindungan undang-undang bagi 1.64 juta pekerja gig.
Mereka yang dilindungi termasuk pemandu e-panggilan, penghantar p-panggilan, pekerja bebas (freelancer), dan pekerja kreatif.
Perlindungan merangkumi syarat kontrak yang adil, pembayaran tepat pada masa, mekanisme penyelesaian pertikaian, dan caruman keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial.