Replika kubur perlu diletak di tempat tertutup

Replika kubur perlu diletak di tempat tertutup

Ibu bapa bukan Islam SMK Sultan Abdul Samad berkata sekolah perlu lebih sensitif dalam isu “kubur” manakala ibu bapa Islam memuji inisiatif untuk memberi pemahaman bagi subjek pengurusan jenazah.

Kamarozaman-Abd-Razak
KLANG: Kebanyakan ibu bapa bukan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad di Bukit Kuda, Klang berkata replika kubur dan batu nisan yang terletak di sekolah itu sepatutnya diletakkan di tempat tertutup.

Sarash Ponaya berkata mereka faham replika kubur itu bertujuan untuk latihan amali tetapi ia sepatutnya diletak di tempat bersesuaian untuk pelajar Islam.

“Tiada masalah jika pihak sekolah mahu meletakkan replika kubur itu tetapi mereka perlu lebih sensitif terhadap pelajar bukan Islam dengan meletakkan replika itu di kawasan tertutup,” katanya ketika ditemui FMT di sekolah itu.

Pada Selasa, Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy mempersoalkan tindakan sekolah itu yang membina replika kubur di kawasan sekolah dan menyifatkannya sebagai agenda serta menunjukkan sekolah tidak mengambil kira perasaan pelajar dan ibu bapa kaum lain.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata replika itu hanya bertujuan untuk latihan amali dan pembinaannya oleh Panitia Pendidikan Islam sekolah berkenaan berdasarkan kurikulum Pendidikan Islam Tingkatan Tiga mengenai “Pengurusan Jenazah” bagi pelajar Islam.

KPM berkata replika itu bukan perkara wajib diadakan namun ia inisiatif sekolah berkenaan bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada pelajar mengenai tajuk pengajaran.

Seorang lagi bapa bukan Islam dikenali sebagai Kelvin berkata, replika kubur itu memang perkara sensitif yang perlu dijaga pihak sekolah.

Katanya, replika kubur itu akan mengganggu pelajar bukan Islam jika diletakkan di tempat yang terbuka.

 

Kubur-sekolah

 

“Jadi tidak mahu ada pandangan negatif terhadap kubur itu, sekolah perlu meletakkan ia di tempat sesuai dan kalau boleh tidak dilihat pelajar bukan Islam.

“Begitu juga dengan latihan amali yang dijalankan, kalau boleh tempat yang tertutup,” katanya.

Sementara itu, ibu bapa beragama Islam tiada masalah dengan replika itu dan bersetuju dengan cara pihak sekolah memberikan lebih kefahaman kepada pelajar mengenai pengurusan jenazah.

Roslan Khalid berkata ibu bapa dan pelajar bukan Islam tidak perlu risau kerana replika itu juga sudah diletakkan di tempat yang tertutup.

“Anak saya beritahu replika itu pada mulanya diletakkan di depan surau sekolah. Tetapi dipindahkan di tempat tertutup di belakang surau.

“Kalau tempat sesuai tiada masalah dan jika ada ibu bapa bukan Islam yang tidak setuju, itu pandangan mereka. Bagi saya ini satu kelainan dan inisiatif pihak sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.