Isteri lega suspek kemalangan maut didakwa atas tuduhan bunuh

Isteri lega suspek kemalangan maut didakwa atas tuduhan bunuh

Nor Nadia Abdul Majid bersyukur prosiding pendakwaan dimulakan, keluarga mangsa rancang tuntut pampasan lebih RM1 juta.

Nor Nadia Abdul Majid
Nor Nadia Abdul Majid berkata keluarga menyerahkan kepada peguam pemerhati Mohd Faizi Che Abu untuk proses seterusnya.
KLANG:
Isteri kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan tragis Ahad lalu meluahkan rasa syukur selepas suspek terbabit didakwa atas kesalahan membunuh.

Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata dia lega dengan prosiding pendakwaan hari ini dan menyerahkan kepada peguam pemerhati keluarga Mohd Faizi Che Abu untuk proses seterusnya.

“Alhamdulillah saya sangat-sangat bersyukur atas pretuduhan itu (tuduhan bunuh) dan berpuas hati hari ini. Saya amat-amat lega,” katanya ditemui media.

Terdahulu, seorang jurutenik R Saktygaanapathy, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh penghantar barang Amirul Hafiz Omar dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengambil dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) pada hari kejadian, dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Faizi memaklumkan keluarga mangsa merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta bagi menuntut keadilan untuk isteri dan tiga anak mangsa yang kehilangan tempat bergantung serta kasih sayang seorang bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.