
Dalam kejadian kira-kira 3.01 pagi tadi, mangsa lelaki berusia 29 tahun rentung, manakala wanita berusia 23 tahun parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan itu membabitkan Honda City Hatchback berwarna kelabu yang dipandu mangsa lelaki bersama penumpang wanita.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat perbankan antarabangsa.
“Ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan menyebabkan kereta itu terbakar,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa daripada kenderaan.
Jelasnya, pemandu itu rentung dan penumpang wanita yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi nahas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.