Siasat rasuah tak payah waran, perintah mahkamah, kata Ibrahim Ali

Siasat rasuah tak payah waran, perintah mahkamah, kata Ibrahim Ali

Presiden Perkasa itu mahu pesalah rasuah dikenakan hukuman sama seperti pesalah jenayah dadah dan rogol.

ibrahim-ali_law_rasuah_600
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis perlu diberikan lebih banyak kuasa membanteras rasuah, dan ini termasuk mewujudkan undang-undang supaya waran dan perintah mahkamah tidak diperlukan untuk menyiasat kes rasuah.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata Akta Sabotaj Ekonomi perlu diwujudkan dalam kadar segera bagi tujuan itu.

“Ia sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Maknanya, kalau ada kes besar seperti kes pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah (JAS) ia boleh ditangkap,” katanya merujuk kes membabitkan bekas pengarah JAS Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan 2 lagi yang berdepan 34 tuduhan rasuah membabitkan lebih RM60 juta ringgit.

Ibrahim bercakap selepas menghadiri majlis solat hajat di Kampung Baru malam tadi, dianjurkan Perkasa bagi memohon negara selamat daripada rasuah.

ibrahim_ali

Menurutnya, prosedur sedia ada tidak memberi ruang dan masa secukupnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes rasuah.

“Apabila reman selama 4 hari, mana nak cukup siasatan jika 4 hari. Ada sesetengah kes yang mengambil masa lama untuk disiasat.

“Sebutan kes pertama, kedua, kemudian sambung bicara dalam masa yang lama, tahu-tahu saja, si tertuduh sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah di bawah Perkasa, Jais Abdul Karim, berkata pendapatan negara boleh meningkat sebanyak 300% jika rasuah dalam perkhidmatan awam dihentikan.

“Peningkatan itu sekaligus memberi impak ketika ekonomi negara dalam keadaan kritikal,” katanya, tanpa memperincikan bagaimana peratusan peningkatan itu dikira.

Ibrahim turut mencadangkan pesalah rasuah dikenakan hukuman sama seperti pesalah jenayah dadah dan rogol.

“Kalau kes itu besar, melibatkan wang melebihi RM100 juta, mungkin mandatori penjara hidup. Rasuah ini kejijikannya sama seperti pengedar dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.