Jika TPPA gagal, Malaysia teruskan perdagangan bebas

TPPA mustapa

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengkaji kemungkinan untuk meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) 2 hala dengan ahli Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang berkaitan jika TPPA tidak menjadi kenyataan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata negara juga akan memberi keutamaan dalam mengukuhkan integrasi ekonomi dalam Asean dan berusaha untuk memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mustapa, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia, di Davos, Switzerland dari 17-20 Januari, berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi Malaysia jika TPPA tidak menjadi kenyataan pada majlis makan tengah hari perniagaan di sini.

Majlis tersebut dihadiri pelabur antarabangsa yang berpotensi dan sedia ada daripada pelbagai sektor dan negara anjuran bersama Khazanah Nasional Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Berdasarkan sentimen dasar perlindungan yang meningkat di beberapa negara, menteri itu memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa Malaysia kekal terbuka kepada perniagaan.

“Pelaburan asing memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi kami dan kami akan terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam subsektor pemangkin seperti bahan kimia, elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, selain bidang pertumbuhan lain yang berpotensi tinggi termasuk aeroangkasa, peranti perubatan dan ekonomi digital,” katanya.

Mustapa berkata Malaysia menjadi penerima manfaat utama Pelaburan Langsung Asing, yang turut menyumbang kepada eksport negara berdasarkan jumlah besar syarikat asing yang beroperasi di Malaysia yang 100% berorientasikan eksport.

“Kehadiran syarikat asing dalam ekonomi kami turut menyediakan akses kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kepada pemindahan teknologi dan pertukaran pengetahuan, penting dalam membangunkan keupayaan mereka yang membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.

Pada majlis itu, Mustapa turut menjawab beberapa soalan daripada audiens, kebanyakannya mengenai hala tuju ekonomi Malaysia, terutamanya dalam konteks pentadbiran Presiden Donald Trump dan status terkini integrasi ekonomi Asean.

Beliau turut menggesa pelabur untuk memanfaatkan peluang yang terdapat di rantau Asean yang dinamik dengan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk.

Katanya, sebilangan besar syarikat asing seperti Novartis, Roche, GE dan Standard Chartered menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka.

Beliau berkata kelebihan Malaysia termasuk kestabilan politik, mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dasar mesra perniagaan, mempunyai infrastruktur baik, kedudukannya strategik dalam Asean dan pemudahan pelaburan melalui MIDA.

“Walaupun persekitaran semasa yang mencabar, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami kekal antara yang tertinggi di rantau ini dan pasaran sedang pesat membangun,” katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak.