
Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata ini kerana pengundi kini mempunyai “pilihan politik” pada PRU14 nanti.
“Jika mereka mahu Lim Kit Siang menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, dengan itu mereka boleh memilih ‘Pakatan yang diterajui DAP’ dalam pilihan raya umum akan datang.
“Malah, Dr Mahathir membuat pendedahan penting membabitkan politik negara itu pada 17 Januari tahun ini.
“Dr Mahathir secara tidak langsung bersetuju dengan dakwaan (bekas naib presiden DAP) Tunku Aziz yang Kit Siang akan menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan jika Pakatan memenangi PRU14,” katanya.
Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Connecting The Unconnected (CTU) dan Komuniti Dashboard di Dewan Komuniti Sri Ontoros, Kemabong, di sini hari ini.
Pada Rabu, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dilaporkan berkata DAP meminta pemimpin parti itu diberi jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada PRU14.
Terdahulu dalam ucapannya, Salleh juga menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang tidak berpendirian kerana sering mengubah pendirian dan pandangannya mengenai isu penting.
“Sebelum ini, beliau (Dr Mahathir) bersama-sama kami (Umno/Barisan Nasional) dan kami menghormatinya kerana beliau menyumbang kepada negara.
“Tetapi kini, Dr Mahathir bersama-sama pembangkang dan mahu meruntuhkan Umno… kita tidak boleh benarkan ini berlaku,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau berpendapat Dr Mahathir bersikap amat tidak wajar apabila mahu menjadikan Kit Siang sebagai calon timbalan perdana menteri, sedangkan sebelum ini beliau melabelkan ahli politik DAP itu sebagai rasis.