China gesa Baitulmaqdis Timur jadi ibu negara Palestin

China gesa Baitulmaqdis Timur jadi ibu negara Palestin

Cadangan itu dibuat tidak lama selepas Donald Trump berikrar akan mengiktiraf kota suci 3 agama itu sebagai ibu negara Israel.

jerussalem
PETALING JAYA:
China menggesa penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Cadangan itu dibuat beberapa bulan selepas Donald Trump dalam kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat berikrar mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara mutlak Israel.

Pada masa ini, kebanyakan negara menempatkan kedutaan mereka di Tel Aviv ekoran status Baitulmaqdis sebagai ibu negara tidak diiktiraf.

Memetik laporan Haaretz pada 21 Januari, Presiden China Xi Jinping juga mencadangkan Palestin menggunakan sempadan sebelum Perang Arab-Israel 1967, yang menyaksikan Israel menakluk Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

“China menyokong proses di Timur Tengah yang aman (dan) penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Meneruskan kepentingan absah warga Palestin adalah tanggungjawab Liga Arab serta masyarakat antarabangsa,” katanya ketika berucap di Liga Arab di Mesir, seperti dipetik.

Beliau juga mengumumkan bantuan berjumlah RM33.7 juta (AS$7.6 juta) kepada Palestin.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Beijing memperkukuhkan pengaruh politik dan ekonominya di Timur Tengah.

Dalam kempennya, Trump juga berkata akan memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, dan laporan menyatakan beliau akan membuat pengumuman itu dalam tempoh awalnya sebagai presiden.

Israel dan Palestin masing-masing menyatakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka, dan merupakan antara pertikaian utama dalam konflik berpanjangan 2 negara itu.

Ketika tempoh akhir pentadbiran Barack Obama, hubungan 2 negara itu memburuk apabila AS mengambil langkah tidak menggunakan kuasa veto dan membenarkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel menghentikan penempatan haram diluluskan, Disember lalu.

Dalam siri lawatannya ke Timur Tengah, China menandatangani 21 persetujuan kerjasama dengan Mesir dalam pelbagai bidang, dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Arab Saudi untuk membina reaktor nuklear di sana, menurut laporan itu lagi.

Xi akan menamatkan lawatannya kali ini di Iran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.