Beg plastik: Fomca minta Selangor cari alternatif hentikan caj 20 sen

yusof-fomcaPETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan Selangor mencari alternatif bagi memastikan peniaga berhenti mengenakan caj 20 sen bagi sehelai beg plastik kepada pelanggan.

Menurut Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman, kegagalan kerajaan negeri melakukannya hanya memperlihatkan sikap tidak acuh dengan kempen tanpa beg plastik yang dijalankan apatah lagi ia hanya memberi pendapatan tambahan kepada pasar raya.

“Mereka tidak ada inisiatif menggalakkan orang agar tidak menggunakan beg plastik. Itu bukan cara bagaimana kita nak melakukan kempen.

“Kerajaan Selangor tak akan memberikan galakkan kepada mana-mana pasar raya berbuat demikian. Jadi saya rasa ia langkah yang tidak sewajarnya dilakukan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Caj 20 sen setiap beg plastik itu berkuat kuasa pada 1 Januari lalu menerusi “Kempen Selangor Bebas Plastik”.

Usaha yang bermatlamat untuk menjaga alam sekitar mendapat kritikan pelbagai pihak yang tidak bersetuju terhadap caj berkenaan.

Pada 21 Januari lalu, kerajaan Selangor masih menyerahkan kepada peniaga untuk terus mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik kepada pengguna atau sebaliknya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri belum mewujudkan sebarang peraturan khusus bagi menghentikan caj 20 sen itu.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, untuk mengadakan kempen, perlu dibuat perancangan terlebih dahulu bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan beg plastik.

“Kalau kita tak ada perancangan, apa yang dibuat ini hanya sekadar satu kempen seolah-olah nak melepaskan batuk di tangga sahaja. Kerajaan Selangor tiada perancangan rapi.

“Kita amat berharap supaya dapat difikirkan satu kaedah lebih baik supaya mencapai matlamat sepatutnya,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/12/21/selangor-haramkan-beg-plastik-mulai-2017-kata-exco/