
Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Tan Sri Ramon Navaratnam berkata cadangan itu seperti menakut-nakutkan kanak-kanak dengan mengancam untuk menafikan hak mereka.
“Ancaman seperti itu bukan cara untuk menggalakkan orang ramai jadi lebih fasih dalam bahasa Melayu,” katanya dan menambah kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam peperiksaan SPM.
Ahad lalu, Profesor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Utara Malaysia dilaporkan berkata kanak-kanak perlu tahu bahasa kebangsaan sebelum mendapat kad pengenalan warganegara Malaysia.
Tokoh akademik itu dipetik sebagai berkata rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu sepatutnya mendapat kad merah atau kerakyatan sementara, sehingga mereka tahu berbahasa Melayu.
Ramon bagaimanapun berkata bahasa Melayu mungkin bahasa ibunda kaum Melayu tetapi bukan untuk bangsa lain, jadi apa yang penting ialah mereka ada asas untuk berbahasa Melayu.
“Penguasaan sesuatu bahasa tidak sepatutnya digunakan sebagai penanda aras untuk kerakyatan. Selain pentingnya belajar bahasa kebangsaan, kita juga perlu memastikan anak faham nilai perlu ada untuk menjadi rakyat Malaysia yang baik,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku terbarunya berjudul “Malaysia’s Transformation Challenges: Debating Public Policies” di sini hari ini.
Ramon, yang juga pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam di Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) berkata dasar seumpama itu akan hanya memecahbelahkan masyarakat majmuk Malaysia.
Awal hari ini, Presiden Bersama Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) Gan Ping Sieu juga mempersoalkan cadangan itu dan berkata tidak ada sebab mengapa mereka yang tidak menguasai standard bahasa boleh dilayan seperti warganegara kelas kedua.