Mahkamah tolak permohonan 3 pengundi batal keputusan SPR

Mahkamah tolak permohonan 3 pengundi batal keputusan SPR

Mahkamah mendapati 3 pengundi memfailkan permohonan di luar had tempoh dibenarkan mengikut Perintah 53(3), Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012.

persempadanan-semula
KUALA LUMPUR:
Tiga pengundi di Hulu Selangor gagal dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah sempadan kawasan pilihan raya Kuala Kubu Bahru (KKB) dan Batang Kali yang mereka dakwa memprejudiskan hak mereka untuk mengundi.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dalam keputusannya semalam, menolak permohonan untuk semakan kehakiman dikemukakan P Maradeveran, Zahar Rusuli dan Yong Chan Hee bagi membatalkan keputusan SPR.

Peguam Joanne Chua yang mewakili 3 pengundi itu berkata, mahkamah mendapati ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan itu di luar had tempoh dibenarkan untuk berbuat demikian mengikut Perintah 53(3), Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012.

Semasa dihubungi, beliau berkata mahkamah mendapati had tempoh 3 bulan itu bermula daripada penerbitan Warta pada 29 April, 2016.

“Pendirian kami ialah tempoh bermula dari tarikh kami menerima surat daripada SPR pada 8 Ogos, 2016. Permohonan difailkan pada 21 Okt, 2016. Oleh itu, mahkamah mendapati permohonan itu difailkan di luar had masa,” katanya.

Mengikut Perintah 53(3) Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012, permohonan bagi semakan kehakiman perlu dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh apabila alasan bagi permohonan dikemukakan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan bagi kebenaran itu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Armajeet Singh, Suzana Atan dan Azizan Md Arshad mewakili SPR yang merupakan responden dalam kes itu.

Pada 21 Okt tahun lepas, mereka memfailkan permohonan bagi kebenaran itu, antara lain memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan SPR mengubah kawasan pengundian bagi pemilih berdaftar dan perintah untuk membatalkan keputusan SPR mengubah kawasan pengundian pemilih berdaftar daripada Batang Kali ke KKB dan sebaliknya.

Mereka juga memohon perintah untuk membatalkan keputusan SPR yang mengubah kawasan pilihan raya KKB dan Batang Kali.

Dalam permohonan itu, menurut mereka, pada 29 April 2016, SPR menerbitkan notis Warta Persekutuan memaklumkan perubahan kawasan pengundian di kawasan pilihan raya yang dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Petisyen Pilihan Raya 1958.

Defendan pertama dan kedua mendakwa pada 24 Julai 2016, mereka mendapati kawasan untuk mereka mengundi ditukar daripada Batang Kali ke KKB dan dengan itu mereka menulis kepada SPR menyatakan hak mereka untuk mengundi diprejudiskan.

Sementara pemohon ke-3 menyatakan sebagai pemilih beliau amat terjejas dengan pertukaran tempat mengundi daripada Batang Kali ke KKB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.