
Walaupun terdapat sokongan terhadap cadangan itu yang membolehkan pengundi menyingkirkan wakil rakyat berprestasi lemah, Fann berkata sistem sedemikian terdedah kepada penyalahgunaan.
“Alasan untuk mengadakan ‘recall election’ mestilah khusus dan berasaskan fakta, bukan bersifat politik atau subjektif,” katanya kepada FMT, sambil memberi contoh seperti pemecatan daripada parti, sabitan jenayah serius atau ketidakhadiran yang teruk.
Fann berkata proses ‘recall’ juga perlu mudah diakses oleh orang ramai, sambil menambah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang cara ia berfungsi.
Ambang yang jelas dan kriteria objektif adalah penting, termasuk tahap minimum sokongan pengundi untuk mencetuskan ‘recall election’ serta sokongan majoriti untuk menyingkirkan wakil berkenaan.
Beliau berkata teknologi seperti sistem e-undi yang selamat boleh membantu melancarkan pelaksanaan sambil memastikan ketelusan dan kepercayaan.
Cadangan itu dibangkitkan Sim Kiang Chiok, pengerusi cawangan Stakan bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak pada 25 Mac lalu, yang berkata kemenangan pilihan raya tidak seharusnya menjadi ‘cek kosong’ untuk lima tahun tanpa kebertanggungjawaban.
Katanya, pengundi tidak sepatutnya perlu menunggu pilihan raya umum seterusnya untuk bertindak terhadap wakil yang tidak berprestasi.
‘Recall election’ sebelum ini dicadangkan oleh badan pemantau pilihan raya Bersih susulan Langkah Sheraton pada 2020, namun tidak dilaksanakan kerana kebimbangan terhadap kerumitannya.
Proses itu lazimnya melibatkan beberapa peringkat, daripada pengumpulan tandatangan awal hingga memperoleh sokongan lebih luas sebelum undian diadakan.
“Jika ‘recall’ berjaya, satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan,” kata Pengerusi Tindak Danesh Prakash Chacko.
Beliau menyatakan tiada model standard bagi proses sedemikian dan tahap kesukarannya juga membantu mengelakkan penyalahgunaan atau penggunaan berlebihan.
“‘Recall’ adalah proses yang kompleks dan ahli politik bimbang ia disalahgunakan,” tambahnya, sambil menyatakan kehendak politik masih menjadi halangan utama kepada pelaksanaannya.
Fann bersetuju, dengan mengatakan sebarang sistem ‘recall election’ memerlukan tindakan dwipartisan serta permintaan kuat daripada rakyat.
Chacko berkata proses ‘recall’ boleh direka untuk melengkapi undang-undang anti-lompat parti, khususnya dalam kes yang kompleks seperti perubahan gabungan politik.