Pemimpin Bersatu bidas Adun PAS gesa parti keluar PN

Pemimpin Bersatu bidas Adun PAS gesa parti keluar PN

Rafiq Abdullah menyifatkan kenyatan Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi sebagai 'kacang lupakan kulit'.

Rafiq Abdullah ingatkan Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang kedudukannya kini juga hasil kerjasama Bersatu menerusi PN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu membidas kenyataan Adun PAS yang mencadangkan parti itu keluar daripada Perikatan Nasional (PN) susulan pemecatan dan penggantungan beberapa ahlinya.

Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, berkata Adun Sura, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi perlu ingat kedudukannya dalam politik hari ini juga hasil kerjasama PN.

“Dia kena ingat keberadaan dia di situ pun atas sebab PN, Bersatu dalam PN. Ibarat kacang lupakan kulit,” katanya yang juga Adun Kuang kepada FMT.

Rafiq mengulas hantaran Tengku Fakhruddin di Facebook yang menyarankan Bersatu meninggalkan PN selepas parti itu mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin dan wakil rakyatnya.

Dalam hantaran itu, Tengku Fakhruddin menyifatkan tindakan terhadap pemimpin Bersatu sebagai ‘penyembelihan’ demi mengekalkan kuasa.

Bagaimanapun, Rafiq turut menyifatkan kenyataan itu hanya pandangan peribadi Tengku Fakhruddin bukan mewakili PAS.

“Pada saya itu pandangan peribadi dia, bukan mewakili PAS,” katanya.

Bersatu sejak 8 Mei lalu mengambil tindakan memecat dan menggantung beberapa ahli, dengan alasan mereka melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

Tindakan itu dibuat ketika Bersatu berdepan kemelut dalaman, termasuk pemecatan bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin yang juga wakil rakyat Larut.

Antara Adun dipecat ialah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), dan Farid Zawawi (Kok Lanas).

Turut dipecat ialah Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad serta Exco Pemuda Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.

Beberapa Ahli Parlimen pula digantung keahlian, termasuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Khalib Abdullah (Rompin), dan Islahuddin Abas (Mersing).

Selain itu, beberapa Adun turut digantung, antaranya Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), Ahmad Man (Kuala Sepetang), dan Almidi Jaafar (Bukit Bunga).

Sebelum ini, Bersatu turut memecat 16 pemimpin dalam apa yang disifatkan sebagai pusingan pertama “pembersihan”, termasuk Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.