Adun PAS cadang Bersatu keluar PN susulan ‘penyembelihan’

Adun PAS cadang Bersatu keluar PN susulan ‘penyembelihan’

Saranan Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berlatarkan tindakan Bersatu memecat dan menggantung beberapa ahli.

Tengku Muhammad Fakhruddin Fauzi
Adun PAS, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, kata Bersatu sekarang ‘sudah tiada roh’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat PAS menyarankan Bersatu meninggalkan Perikatan Nasional, dipercayai berkaitan tindakan parti itu memecat dan menggantung beberapa ahli.

Adun Sura, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, menyifatkan perkembangan itu sebagai suatu ‘penyembelihan’.

“Di sembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa. Parti yang namanya Bersatu sekarang hanya tinggal parti yang sudah tiada roh,” katanya di Facebook.

“Kalau dah macam ini molek Bersatu keluar sahaja dari PN hadirnya seperti bayang senja, hilang tanpa kesan, lenyap tanpa bekas.”

Bersatu melancarkan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa ahli sejak 8 Mei atas alasan melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli, rentetan kemelut dalaman yang menyaksikan Timbalan Presiden Hamzah Zainudun dipecat.

Adun dipecat adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), dan Farid Zawawi (Kok Lanas).

Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad, dan Exco Pemuda Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.

Ahli Parlimen digantung adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Khalib Abdullah (Rompin), dan Islahuddin Abas (Mersing).

Turut digantung Adun seperti Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), Ahmad Man (Kuala Sepetang), dan Almidi Jaafar (Bukit Bunga).

Sebelum ini, dalam apa yang dikatakan pusingan pertama ‘pembersihan’, 16 pemimpin dipecat termasuk Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas), dan Fathul Huzir Ayob (Gerik); serta Adun iaitu Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Dr Yadzil Yaakub (Bemban).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.