Timbalan speaker Kelantan luah sokong Hamzah usai dipecat Bersatu

Timbalan speaker Kelantan luah sokong Hamzah usai dipecat Bersatu

Farid Zawawi dakwa Bersatu sudah menyimpang daripada perjuangan asal.

Adun Kok Lanas Farid Zawawi dipecat Bersatu semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Adun Kok Lanas yang juga Timbalan Speaker Kelantan Farid Zawawi menegaskan beliau akan terus menyokong Hamzah Zainudin selepas dipecat Bersatu, semalam.

Farid turut menyambut baik keputusan pemecatan itu sambil mendakwa Bersatu sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya.

“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira, merasai dan menikmati kebebasan dari sebuah parti politik bernama Bersatu yang telah sekian lama menghalalkan hubungan sesama jenis, meruntuhkan silaturahim sesama Muslim dan secara jelas dan terbuka mengangkat pemimpin terpalit korupsi.

“Saya jua pohon diringankan segala bebanan yang akan terus saya gendong bersama rakan sahabat yang sering senada dan senafas bersama Hamzah,” katanya di Facebook.

Farid antara dua pemimpin Bersatu yang dipecat semalam selain Exco Pemuda, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga, Almidi Jaafar digantung keahlian selama dua penggal.

Minggu lalu, Bersatu turut memecat tiga pemimpinnya dan menggantung tujuh yang lain.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Radzi Manan, berkata pemecatan dan penggantungan dibuat kerana mereka didapati melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

Katanya, semua yang dikenakan tindakan boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh dua minggu.

Tiga pemimpin dipecat minggu lalu ialah Timbalan Ketua Pemuda Bersatu, Faiz Rahmad; Timbalan Speaker Kedah yang juga Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; serta Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani.

Tujuh lagi digantung ialah Adun Perak, Ahmad Man dan Syed Lukman Hakim Syed Zin; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Rompin, Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Nor; serta Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.