
Rosol berkata, beliau mengesahkan menerima pemakluman mengenai penggantungan itu menerusi surat daripada pengerusi lembaga disiplin parti bertarikh 29 April yang dihantar melalui WhatsApp.
“Saya tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Rosol bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada Bersatu atas peluang dan sumbangan parti itu sepanjang perjalanan politiknya.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini beliau melihat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti yang pada pandangannya kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya.
“Saya juga menyuarakan pandangan bahawa semangat ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ yang menjadi asas perjuangan parti dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan,” katanya.
Rosol turut berpandangan lembaga disiplin Bersatu memerlukan penambahbaikan dari segi ketelusan serta pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan supaya lebih selari dengan prinsip keadilan parti.
“Lembaga disiplin dilihat semakin hilang kredibiliti kerana entiti yang sama menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman,” katanya.
Jumaat lalu, lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun di Kedah, dan menggantung tujuh termasuk lima Ahli Parlimen.
Lembaga menyatakan mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menurut notis dilihat FMT, ditandatangani Pengerusi Radzi Manan.
Adun yang dipecat keahlian adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad.
Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Rosol, Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin).
Dua Adun turut digantung keahlian iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang).
Lembaga memberi tempoh 14 hari dari tarikh notis untuk mereka mengemukakan rayuan.