
Parti itu memecat Adun Kok Lanas yang juga Timbalan Speaker Kelantan, Farid Zawawi, serta Exco Pemuda Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin.
Mereka yang digantung selama dua penggal pula ialah Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga, Almidi Jaafar.
Pengerusi lembaga disiplin parti, Radzi Manan berkata mereka dipecat atau digantung kerana melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli. Mereka boleh memfailkan rayuan dalam tempoh dua minggu.
Mereka yang dipecat minggu lalu ialah Timbalan Ketua Pemuda, Faiz Rahmad; Timbalan Speaker Kedah yang juga Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; serta Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani.
Tujuh yang digantung minggu lalu ialah Adun Perak, Ahmad Man dan Syed Lukman Hakim Syed Zin; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Rompin, Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Nor, dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid.