
“Secara teknikalnya, ia boleh berlaku seperti itu, beliau (Hamzah) boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang untuk dia kekal sebagai ketua pembangkang.
“Mungkin disebabkan itu, sehingga hari ini beliau tidak memberikan surat kepada speaker Dewan Rakyat bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pada 12 April lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan Hamzah, yang dipecat Bersatu Februari lalu, bukan lagi ketua pembangkang dan beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Tetapi, Johari dilaporkan berkata, pihaknya belum mendapat surat peletakan jawatan Hamzah, justeru Dewan Rakyat tidak boleh mengambil tindakan lanjut.
Faizal yang juga dikenali Peja berkata, kelewatan Hamzah menyerahkan surat peletakan jawatannya juga menunjukkan beliau tidak menghormati keputusan PAS yang sudah mempunyai calon ketua pembangkang mereka.
“PAS sudah mempunyai calon ketua pembangkang. Jadi, tidak wajar Hamzah masih menganggap dirinya ketua pembangkang dan gagal menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Rakyat sehingga hari ini.
“Jadi, saya harap beliau tidak meremehkan kenyataan setiausaha PN dan pengerusi PN bahawa beliau bukan ketua pembangkang di Parlimen.”