
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata halangan utama bukan sekadar perbezaan pendirian semasa, tetapi sejarah persaingan panjang antara Umno dan PAS untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.
Beliau berkata, pengalaman Muafakat Nasional (MN) menunjukkan kerjasama dua parti Melayu itu tidak mudah dipertahankan apabila kepentingan politik masing-masing mula bercanggah.
“Umno dan PAS sukar untuk bersama walaupun kedua-duanya parti Melayu kerana pertimbangan politik.
“PAS dan Umno adalah pesaing tradisional sejak dahulu untuk mendapatkan undi Melayu,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan cadangan muzakarah bukan perkara baharu.
Beliau mengulas catatan Minda Presiden terbaru oleh Hadi yang mengajak Umno kembali kepada konsep perpaduan Melayu-Islam menerusi muzakarah berasaskan Islam.
Hadi turut mencadangkan pihak ketiga terdiri daripada mufti dan ilmuwan Islam dilibatkan bagi mencari titik persefahaman antara PAS dan Umno.
Minggu lalu, Hadi turut mengajak Umno ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas mendakwa parti itu tersalah memilih rakan politik dalam kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata partinya hanya mungkin mempertimbangkan kerjasama semula dengan PAS sekiranya parti Islam itu menghilangkan ‘DNA khianat’, merujuk kegagalan MN selepas PAS bersama Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berkata lebih realistik untuk PAS menumpukan usaha memperkukuh kerjasama dengan Bersatu dalam PN berbanding cuba memulihkan hubungan dengan Umno.
Katanya, kerjasama PAS-Bersatu lebih munasabah dari sudut matematik politik dan keperluan pilihan raya nasional, terutama kerana PN sudah mempunyai tapak sokongan Melayu yang besar di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Tambahnya, cabaran utama PN kini bukan lagi sekadar menyatukan undi Melayu, tetapi memperluas penerimaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar.
“Mereka perlu membina imej lebih sederhana, inklusif dan meyakinkan masyarakat bukan Melayu, khususnya pengundi Cina dan India di kawasan campuran,” katanya.
Beliau berkata PAS juga perlu berhati-hati kerana naratif penyatuan Melayu-Islam bersama Umno boleh mengukuhkan sokongan teras Melayu, tetapi pada masa sama menyukarkan PN menembusi pengundi bukan Melayu.
“Ini dilema strategik utama PN ketika ini,” katanya.