
Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, penting bagi pemimpin veteran DAP itu menjelaskan kepada rakyat tentang cita-cita politiknya.
“Ini masa yang tepat bagi Lim Kit Siang menjelaskan kepada rakyat tentang keengganan mengakui beliau akan menjadi TPM dan menteri kewangan jika Pakatan Harapan memenangi PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian, susulan dakwaan DAP menuntut jawatan tersebut dalam pertemuan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menafikan dakwaan itu.
“Memandangkan hakikat DAP mengetuai Pakatan, rakyat Malaysia perlu tahu sama ada Lim Kit Siang akan mengambil jawatan itu jika benar pembangkang menang PRU akan datang.
“Kita tidak boleh mengabaikan hakikat DAP adalah parti terbesar yang mempunyai kerusi Parlimen dalam perikatan Pakatan, dan mempunyai kepimpinan dominan di dalamnya,” kata Tengku Sariffuddin lagi.
Menurut beliau lagi, Lim perlu berterus-terang motif utama mendekati PAS baru-baru ini kerana memerlukan parti Islam itu untuk menyokong cita-citanya menjadi TPM.
“Jika ia adalah sebaliknya, maka Lim Kit Siang perlu membuat Akuan Bersumpah sebagaimana dicadangkan Tunku Aziz (Tunku Ibrahim) dan menyatakan beliau akan menolak untuk menjadi TPM dan menteri kewangan jika Pakatan memenangi PRU akan datang.
“Ia adalah hak rakyat untuk mengetahui kebenaran cita-cita politiknya, supaya mereka boleh membuat pilihan sebelum mengundi,” kata beliau.
TPM untuk DAP: Pendedahan Dr Mahathir beri ‘pilihan politik’