Sungai Golok masih di paras bahaya, mangsa banjir di Kelantan meningkat

Sungai Golok masih di paras bahaya, mangsa banjir di Kelantan meningkat

Hujan yang melanda jajahan Gua Musang dan Jeli sejak 3 hari lepas menyebabkan banjir, menjadikan 5 daerah di Kelantan terbabit bencana setakat tengah hari ini.

paras
KOTA BAHARU:
Hujan berterusan di Kelantan menyaksikan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat 3 kali ganda kepada 374 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 124 orang pagi tadi.

Hujan yang melanda jajahan Gua Musang dan Jeli sejak 3 hari lepas menyebabkan kawasan berkenaan turut dilanda bah, sekali gus menjadikan 5 daerah di Kelantan terbabit bencana setakat tengah hari ini berbanding 4 pagi tadi.

Bagaimanapun, pusat pemindahan di Kota Bharu yang pada pagi tadi menempatkan 43 orang (10 keluarga) ditutup.

Menurut infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan iaitu masing-masing satu di Pasir Puteh, Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli, manakala dua di Pasir Mas.

Jeli merekodkan 242 mangsa daripada 68 keluarga, manakala Gua Musang pula menyaksikan 66 orang merangkumi 19 keluarga terpaksa dipindahkan.

Pusat pemindahan di Pasir Puteh menempatkan 25 orang (5 keluarga) dan Kuala Krai merekodkan 14 mangsa daripada 2 keluarga.

Dua pusat pemindahan Pasir Mas pula menempatkan 27 orang daripada 8 keluarga.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini turun sedikit ke paras 9.18 meter berbanding 9.22 meter pagi tadi, iaitu masih melepasi paras bahaya 9.0 meter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.