
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, sebagai menteri besar, Zambry sepatutnya mengutamakan kebajikan kakitangan kerajaan khususnya pekerja bawahan kerana lebih 20% rakyat di Perak mempunyai pendapatan kurang RM2,000 sebulan.
“Zambry wajib memikul tanggungjawab menjaga dan membela kebajikan penjawat awam khususnya pekerja bawahan yang berpendapatan rendah seperti tukang kutip sampah yang kini terhimpit dengan kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).
“Di bawah pemerintahan Zambry selama 8 tahun, Perak kini merosot menjadi negeri ke-2 paling miskin di seluruh negara, lebih 21% rakyat negeri ini berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, malahan Perak mempunyai jumlah keluarga miskin paling ramai di seluruh negara.
“Mengikut laporan Jabatan Perdana Menteri, sebanyak 120,000 isi rumah di Perak mempunyai pendapatan kurang RM2,300. Bilangan ini adalah paling ramai di seluruh Malaysia,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Taiping itu turut menyelar perbuatan Zambry itu bertujuan menipu rakyat.
Pagi tadi, Zambry dilaporkan berpakaian seperti pembersih MBI sambil menaiki lori sampah dan mengutip sampah di beberapa kawasan perumahan serta pusat bandar Ipoh.
Alasannya untuk turun padang secara mengejut bertujuan mendekati pekerja MBI sebagai usaha memupuk semangat kerja berpasukan.
Mengulas lanjut, Nga berkata, Zambry perlu berhenti bersandiwara dan menjadi bahan ketawa rakyat.
“Beliau harus mengikut teladan baik kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.
“Kedua-dua kerajaan negeri ini berjaya mentadbir kerajaan negeri dengan baik dan secara berhemah sehingga memberi bonus rekod 1.5 bulan dan 2 bulan kepada penjawat awam negeri itu, manakala kakitangan awam di Perak hanya menerima sedekah RM500 sahaja,” katanya.