
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata situasi berkenaan boleh memberi impak negatif terhadap Melaka antaranya penceramah tempatan di negeri ini tidak layak atau mampu mengajar dan memberi ceramah agama.
“Kita akan menetapkan syarat lebih ketat terhadap kemasukan penceramah luar bagi membendung isu negatif timbul. Berdasarkan rekod, sebanyak 157 penceramah luar termasuk dari Indonesia, Libya, Pakistan, Syria, Thailand, Yaman, Mesir, Lubnan, Singapura, India, Iraq dan Jordan dikesan memasuki Melaka sejak 2015.
“Kawalan yang lebih ketat oleh Jaim dan Maim perlu untuk menapis ajaran penceramah luar ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata langkah itu penting kerana pihaknya khuatir penceramah yang masuk ke negeri ini menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan polisi atau undang-undang kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Beliau berkata komunikasi juga antara faktor kerana penggunaan bahasa Arab yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh kebanyakan penceramah luar mungkin membawa maksud berbeza dan disalah erti.