
Nurul Izzah Anwar yang juga naib presiden PKR berkata demikian susulan kenyataan Tengku Adnan iaitu hasrat untuk menambah Wilayah Persekutuan hanya cadangan yang “memerlukan kertas cadangan, referendum dan kelulusan di peringkat kebangsaan”.
“Sepatutnya Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga sepatutnya mendapat layanan sama ketika diletakkan di bawah kerajaan persekutuan.
“Jadi, adakah Tengku Adnan juga akan pertimbang mengadakan referendum untuk warga KL? Atas pelbagai alasan, penduduk KL sudah lama mempersoalkan kemampuan DBKL untuk mentadbir,” katanya, menyatakan salah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi antara alasannya.
Nurul Izzah merujuk kepada kes tahun lalu mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pengarah eksekutif pengurus projek DBKL yang akhirnya didakwa dengan 18 pertuduhan rasuah, dengan nilai aset sebanyak RM4.4 juta.
Beliau berkata ketidakcekapan DBKL dalam membangunkan KL dengan cara mapan ialah alasan kedua untuk referendum itu diadakan.
“Selama ini, DBKL membenarkan pemaju menceroboh kawasan hijau, tanpa menghiraukan kebimbangan penduduk sekitar. Semua untuk tujuan mengaut keuntungan, dengan mempertaruhkan kemapanan alam sekitar KL.
“Ketiga, DBKL gagal menyediakan standard taraf hidup untuk golongan berpendapatan rendah di ibu kota. Standard penyelenggaraan dan sanitasi yang rendah, tambahan lagi rumah PPR disewa secara haram, sementara DBKL sendiri bergelut dengan tunggakan sewaan yang bertambah,” katanya.
Beliau berkata Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, mempunyai rekod “mencadangkan dan melaksanakan banyak dasar yang menyukarkan masyarakat”, sepanjang 4 tahun sebagai menteri Wilayah Persekutuan.
“Pada 2013, Tengku Adnan mencadangkan kenaikan kadar cukai taksiran antara 100% hingga 250% berbanding kadar asal, sebelum memutuskan kadar naik antara 10% dan 25%.
“Pada 2014, beliau mengharapkan dapur jalanan dalam kawasan 2km radius di pusat bandar KL kerana ‘dapur jalanan hanya menggalakkan orang ramai terus jadi gelandangan dan menganggur’.
“Tahun ini, cadangannya untuk mengharapkan kapcai masuk kawasan bandar juga menimbulkan rasa tidak puas hati warga KL,” katanya.
Beliau berkata dengan rekod seperti itu, janjinya untuk menyediakan rumah mampu milik kepada warga Pulau Pinang dengan menjadikan negeri itu Wilayah Persekutuan, hanyalah janji kosong.
Nurul Izzah berkata keputusan pilihan raya umum lalu juga menunjukkan warga KL menolak kerajaan persekutuan Barisan Nasional dengan memilih calon parti pembangkang sebagai ahli Parlimen di 9 daripada 11 kawasan.
“Itu pun, datuk bandar Kuala Lumpur tidak diundi, tetapi juga dilantik oleh menteri Wilayah Persekutuan.
“KL juga tidak ada kerajaan negeri sendiri. Walaupun menjadi antara negeri menerima bajet terbesar di Malaysia, warga KL terpaksa menyerahkan kawalan kewangan kepada ahli politik Umno seperti Tengku Adnan,” katanya.
Nurul Izzah berkata sebarang cadangan menukar Pulau Pinang menjadi Wilayah Persekutuan hanya usaha meletakkan wilayah pembangkang di bawah kawalan BN, dan cadangan Tengku Adnan itu sangat meragukan dan autoritarian.