Dr Mahathir, Kit Siang harap Zaid lama dalam DAP

Dr Mahathir, Kit Siang harap Zaid lama dalam DAP

Lim Kit Siang yakin Datuk Zaid Ibrahim akan menjadi "team player" dan bukannya primadona dalam DAP.

kit-siang-mahathir
PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dengan berseloroh berharap Datuk Zaid Ibrahim akan kekal dalam DAP.

Ini memandangkan sejarah Zaid yang sering bertukar parti, bermula dengan Umno, PKR dan akhir sekali memimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Lim yang juga pemimpin veteran DAP berkata, beliau yakin Zaid akan dapat bekerjasama dengan pimpinan parti itu.

“Ramai yang bertanya benarkah Zaid akan sertai DAP, dan berapa lama beliau boleh kekal dengan DAP,” katanya disambut tawa hadirin.

“Saya kenal dia lama dan merasakan pandangan politiknya baik untuk Malaysia. Saya yakin beliau boleh menjadi rakan sepasukan (team player) dan bukannya primadona,” katanya pada sidang media di rumah Zaid hari ini.

DAP merupakan parti politik ke-3 disertai Zaid sejak meletak jawatan daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, malah penah mengumumkan persaraan dalam dunia politik pada 2013.

Hari ini, beliau secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam DAP.

Antara yang hadir pada sidang media itu ialah aktivis Hishamuddin Rais, Ahli Majlis PPBM Datuk A Kadir Jasin serta barisan pemimpin PPBM dan DAP lain.

“Saya fikir beliau duduk dalam DAP (biarlah) lama sedikit,” kata Dr Mahathir pula, sekali lagi mengundang sorakan hadirin.

Beliau berkata ramai ahli politik yang memiliki sikap “katak” dengan bertukar parti politik demi kepentingan sendiri.

“Sifat ini patut diketepikan dalam parti pembangkang untuk menyelamatkan kembali negara kita,” kata bekas perdana menteri itu.

Zaid ketika ditanya berhubung keyakinannya untuk kekal dalam DAP berkata, kali ini terdapat lebih banyak isu bersama yang membolehkan kerjasama lebih baik dengan pemimpin pembangkang, berbanding sebelumnya.

Beliau berkata tidak menolak jika dicalonkan mewakili DAP pada pilihan raya akan datang, namun mengakui soal itu masih belum dibincangkan.

“Jika ditawarkan dan mampu boleh menang, saya akan terima. Tetapi jika ada (calon) yang lebih baik…hal ini boleh dibincangkan nanti,” katanya.

Zaid umum sertai DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.