Adun Kesidang tinggalkan DAP tanpa rasa pilu

Adun Kesidang tinggalkan DAP tanpa rasa pilu

Beliau yang keluar DAP hari ini berkata apa yang menariknya kepada DAP ialah perjuangan parti itu bagi konsep "Malaysian Malaysia" tetapi apa yang dilihatnya sekarang sama sekali adalah sebaliknya.

Chin-Choong-Seong-dap
MELAKA:
Adun Kesidang Chin Choong Seong mendakwa DAP sejak 2 hingga 3 tahun lalu menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Chin, yang keluar DAP hari ini berkata apa yang menariknya kepada DAP ialah perjuangan parti itu bagi konsep “Malaysian Malaysia” tetapi apa yang dilihatnya sekarang sama sekali adalah sebaliknya.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah dalam usaha untuk meraih sokongan orang Melayu, DAP menuruti apa yang MCA lakukan sekarang.

“Saya rasa ini pendekatan yang berbahaya dalam usaha menarik sokongan orang Melayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Chin, Adun lain yang keluar parti ialah Lim Jak Wong (Bachang) dan Goh Leong San (Duyong) serta Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.

Sim berkata, selepas mengkaji dan membuat pertimbangan sewajarnya, beliau hilang keyakinan dan sangat kecewa dengan kepimpinan DAP terutama Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam menangani isu dalaman dan luaran parti.

“Saya tidak boleh menerima dan menyokong pendirian dan apa yang dikatakan haluan politik baharu yang diamalkan DAP akhir-akhir ini. DAP melencong ke aliran dan haluan politik baharu,” katanya.

Lim berkata keputusannya untuk keluar parti tidak dibuat secara tergesa-gesa dan mereka membuat keputusan bersama selepas pertimbangan yang teliti dan wajar.

“Saya percaya keputusan saya akan diadili oleh rakyat dan menimbulkan pelbagai reaksi dan saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka tidak memahami apa yang kita rasa. Kita akan cuba untuk memahami mereka.

“Dulu apabila orang mengkritik DAP, saya akan mempertahankan imej DAP. Tetapi sekarang, saya membuat keputusan ini tanpa diselubungi sebarang perasaan kepiluan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.