Krisis dalaman DAP bukti gagal jadi pemimpin rakyat, kata Zahid

Krisis dalaman DAP bukti gagal jadi pemimpin rakyat, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berhadap rakyat dapat menilai prestasi wakil rakyat DAP yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melaksanakannya dengan baik.

zahid-hamidi-dap-1
LUNDU:
Tindakan 3 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang ahli Parlimen DAP Melaka keluar daripada parti itu merupakan satu manifestasi masalah dalaman dan krisis kepercayaan yang sedang dihadapi parti pembangkang itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dimaklumkan 3 Adun dan seorang ahli Parlimen dari Melaka keluar parti,” kata timbalan perdana menteri.

Beliau percaya ini kerana kepimpinan DAP yang bersekongkol dengan tokoh yang pernah menghentam parti itu satu ketika dahulu, kini mendapat tentangan dalaman.

Oleh itu, menurutnya rakyat secara keseluruhannya perlu membuat analisis sendiri mengenai kebolehpercayaan mereka terhadap wakil rakyat daripada DAP susulan perkembangan terbaru itu.

“Kita tahu persekongkolan ini menerusi “perkahwinan mutaah politik’, atau ‘perkahwinan sementara politik’… rakyat harus faham mengenainya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin bersama Rela di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80km dari bandaraya Kuching, di sini, hari ini.

“Kita harap rakyat dapat menilai sendiri tentang apa yang sedang berlaku di kalangan mereka (DAP), dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil rakyat yang hanya pandai berkokok (tapi) tidak dapat berikan perkhidmatan yang berkesan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk menambah bantuan RM16 juta kepada Rela, sebagaimana yang pernah disentuh oleh bekas ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Mana nak cari ketua menteri (Abang Johari) yang macam ini. Semua dasar, janji ketua menteri terdahulu, semuanya beliau tekad untuk laksanakan, semuanya untuk pembangunan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.

Beliau menyeru supaya semua anggota Rela berjumlah 345,000 di Sarawak menyokong penuh kepimpinan Abang Johari yang dilihat serius dengan hasrat meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan Adenan, dengan niat semata-mata untuk membangunkan Sarawak.

Beliau seterusnya mengingatkan pemilih supaya beramai-ramai keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu pada 18 Feb ini sebagai tanda sayang serta kagum dengan kepimpinan penyandangnya Adenan, dan juga tanda sokongan penuh kepada balu beliau, Datuk Amar Jamilah Anu yang dipilih Barisan Nasional untuk bertanding dalam PRK itu.

4 wakil rakyat DAP keluar parti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.