
“Parti PAS baguslah nama Islam tapi pemimpinnya bangang dan hanya tahu tebang balak. Saya tak merujuk kepada mana-mana individu, saya cuma kesal,” katanya.
“Mereka bersungguh-sungguh bawa usul RUU 355 tetapi tidak peduli alam sekitar. Ini menjadikan rakyat tidak senang hati dengan PAS,” katanya lagi.
Ini bukan kali pertama gerakan pro-Bumiputera itu menyatakan sokongan kepada cadangan meminda akta dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan untuk membolehkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.
Ini juga bukan kali pertama Perkasa mengecam PAS dalam isu Orang Asli mempertahankan hak tanah daripada pembalakan. Pada 7 Februari lalu, Ibrahim turun ke Gua Musang dan membidas kerajaan Kelantan sebagai angkuh, bongkak dan berlagak alim.
“Jangan beri alasan tiada peruntukan dari kerajaan persekutuan atau royalti minyak. Negeri ada pelbagai budaya dengan flora dan fauna yang cantik,” katanya hari ini.
“Pemimpin yang kreatif boleh bangunkan Kelantan. Tetapi malangnya kita ada pemimpin yang bodoh.”
Solidariti dalam isu Orang Asli menemukan Perkasa dengan peguam kontroversi, Siti Kasim, seorang aktivis yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Akta 355.
PAS merancang menganjurkan himpunan solidariti untuk usul yang dibawa presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada Sabtu ini di ibu negara.
“Perkasa tidak terlibat, hanya memberikan sokongan moral,” kata Ibrahim Ali.
“Ahli Perkasa yang ingin turut serta tiada masalah, tetapi jangan pakai baju Perkasa. Kami tidak ingin dilihat menyokong mana-mana parti politik.”
Beliau juga berharap orang bukan Islam dan golongan Melayu liberal agar tidak terlalu ghairah menyerang usaha itu, tetapi menyuarakan pandangan secara beradab.