
Perasaan takut menyelubungi seluruh negeri akan kemungkinan dijadikan Wilayah Persekutuan sekiranya ia diperintah sekali lagi oleh Barisan Nasional (BN), katanya.
“Kerajaan negeri Pakatan tidak bertindak keterlaluan terhadap cadangan menteri Wilayah Persekutuan tetapi melihat ia sebagai bahaya yang jelas dan hadir bagi kewujudan berterusan Pulau Pinang.
“Lebih buruk lagi, cadangan beliau adalah untuk menjadikan hanya pulau itu sebagai Wilayah Persekutuan, meninggalkan tanah besar Seberang Prai tidak disentuh, yang kesannya akan menyebabkan negeri terbahagi,” kata Lim merujuk kepada komen mengenai isu itu oleh Ketua Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Semalam, Zainal, yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, berkata Tengku Adnan memberitahunya dalam mesyuarat pada Isnin beliau hanya mahu menukar pulau dan bukan seluruh negeri Pulau Pinang.
Zainal juga mendedahkan Tengku Adnan mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat berlindung cukai (tax haven).
“Saya juga terkejut dengan rancangan menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat berlindung cukai.
“Beliau tidak jujur kerana ia tidak pernah didedahkan semasa mula bercakap mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan dalam temubual dengan radio bulan lepas,” kata Guan Eng.
Guan Eng berkata Pulau Pinang tidak semestinya perlu dijadikan Wilayah Persekutuan untuk dijadikan tempat berlindung cukai.
“Jangan biar BN lupa, BN bertanggungjawab mengambil hak Pulau Pinang pada 1970-an dengan menghapuskan status pelabuhan bebas Pulau Pinang.
“BN boleh mengembalikan pelabuhan bebas atau memberikan kami status ‘tax haven’ tanpa menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan. Kenapa mereka tidak berbuat demikian sekarang?”
Status pelabuhan bebas Pulau Pinang ditarik balik pada 1969 walaupun mendapat tentangan. Ia adalah satu usaha kerajaan persekutuan untuk memastikan Pulau Pinang berada di bawah sistem cukai negara yang sama.
Selain Pulau Pinang, Tengku Adnan juga mencadangkan menukar status Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Tioman kepada Wilayah Persekutuan.
Beliau merasakan ia akan memastikan dana mencukupi untuk pembangunan dan infrastruktur.
Guan Eng berkata penentangan terhadap idea Wilayah Persekutuan perlu diteruskan, walaupun pegawai persekutuan berkata ia adalah satu idea yang tidak mungkin.
Ketua menteri berkata ia bukan ketakutan tidak berasas kerana Pulau Pinang boleh menjadi Wilayah Persekutuan jika BN memenangi negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dan menggunakan majoriti di Dewan Undangan Negeri untuk mengisytiharkan ia sebagai Wilayah Persekutuan.