MB: Kerajaan Johor bantu ringan beban keluarga mangsa basikal

MB: Kerajaan Johor bantu ringan beban keluarga mangsa basikal

Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa terbabit dalam kemalangan itu.

khaledd-nordin
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan khairat kematian kepada keluarga mangsa dalam kemalangan maut berbasikal di sini awal hari ini, kata menteri besar Johor.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, kerajaan negeri berharap semua keluarga dan waris mangsa kemalangan itu bersabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan dan pihaknya mendoakan mangsa cedera akan pulih secepat mungkin.

“Saya mewakili pentadbiran kerajaan negeri Johor menzahirkan ucapan takziah dan belasungkawa kepada semua keluarga dan waris mangsa kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam.

“Semoga roh mereka yang pergi dalam kejadian tragis itu ditempatkan bersama orang yang dikasihi Allah, Amin. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama hari ini.

Pada masa sama, Khaled menyeru semua pihak dan agensi berkaitan berusaha memastikan kejadian sama tidak berulang.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, 5 daripada 8 mangsa yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) didapati patah kaki, tetapi sedar sepenuhnya.

Katanya, keadaan 2 mangsa lain tidak stabil kerana mengalami pendarahan otak dan sedang menjalani pembedahan, manakala seorang lagi hanya luka di kepala dan sedar sepenuhnya serta dirawat di Jabatan Kecemasan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa. Bagi ibu bapa, diharapkan dapat mengawasi keberadaan anak-anak anda terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ketua Pembangkang Johor, Gan Peck Cheng turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Liew yang juga ahli Parlimen Kluang dalam satu kenyataan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

Gan pula memberitahu FMT, sekarang bukan masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Kami amat sedih dengan kemalangan tragis ini. Selepas ini, kita perlu mengkaji keadaan ini dan mencari jalan mengelakkan kemalangan sama berulang.”

Dalam kejadian 3 pagi tadi, 8 remaja lelaki berbasikal maut, 2 kritikal dan 6 lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.

Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.