
Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, belia kini tersepit dengan pendapatan semakin kecil akibat kenaikan kos sara hidup.
“Trend meletakkan hantaran tinggi seolah-olah tidak dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima menunjukkan 56% responden lelaki dan 26% responden wanita menjadikan kekangan kewangan sebagai faktor tidak atau lambat berkahwin.
“Ibu bapa jangan terikut-ikut trend mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dan meletakkan hantaran tidak masuk akal.
“Ini akhirnya mematikan hasrat belia untuk berumah tangga,” katanya yang menasihatkan ibu bapa menghindari budaya menunjuk-nunjuk.
Beliau juga menyarankan kerajaan negeri memikirkan bentuk insentif boleh diberikan kepada ibu bapa yang mengecualikan hantaran daripada bakal menantu mereka.
“Polisi begini mampu membuka mata masyarakat untuk menghindarkan adat yang menyusahkan urusan agama.”
Beliau mengakui cadangan berkenaan akan menimbulkan kontroversi dan menyentuh persoalan status quo dalam hal ehwal adat, tetapi Pemuda Amanah sedia berdialog dengan mana-mana pihak.
“Setidak-tidaknya kita memulakan langkah pertama untuk menangani masalah ini dengan serius.”