Pakar alu-alukan universiti khas untuk sukan

Pakar alu-alukan universiti khas untuk sukan

Dengan adanya universiti sukan membolehkan universiti berkenaan membuat lebih banyak penyelidikan mengenai sukan.

Dr-Teo-Kok-Seong-sukan
PETALING JAYA: Seorang bekas penasihat pendidikan kebangsaan mengalu-alukan pembinaan universiti sukan di Malaysia, dengan berkata ia merupakan kesinambungan pendidikan kepada atlet negara.

Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, universiti sukan itu merupakan kesinambungan pendidikan kepada atlet negara ini.

“Setahu saya ada 2 universiti saja yang menawarkan kursus atau ijazah sukan iaitu Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

“Kursus yang ditawarkan juga terhad jadi dengan adanya universiti, banyak lagi kursus yang boleh ditawarkan,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan menyambut baik tawaran kerajaan negeri Terengganu untuk membina universiti sukan pertama di Malaysia.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata cadangan tersebut akan diusulkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandangkan ia berada dalam bidang kuasa kementerian tersebut.

Mengulas lanjut, Teo yang merupakan felo di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata dengan adanya universiti sukan membolehkan universiti berkenaan membuat lebih banyak penyelidikan mengenai sukan.

“Yang penting penyelidikan tentang sukan itu dari pelbagai segi kejurulatihan, pemakanan dan segalanya.

“Malaysia ada universiti yang mengkhususkan dalam bidang tertentu seperti UPM mengkhusus dalam bidang pertanian, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang ketenteraan dan keselamatan negara serta USM dalam bidang sains,” katanya.

Teo turut mencadangkan pembinaan universiti sukan itu tidak terlalu besar.

“Universiti tidak perlu besar, seperti sebuah butik yang tidak menjual banyak baju tapi bermutu dan berkualiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.