
Ri Jong Chol dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang jam 8.50 pagi tadi dengan memakai jaket kalis peluru, sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen di Putrajaya kira-kira jam 9.15 pagi.
Dia tiba di Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC) jam 3.40 petang tadi, sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 20 minit kemudian dengan diiringi konvoi 7 kenderaan polis dan sebuah kenderaan Jabatan Imigresen.
Dua kenderaan yang salah sebuahnya dipercayai membawa keluarga Ri menunggu di AMC bersama pegawai Kedutaan Korea Utara di Malaysia.
Difahamkan, Ri akan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH360 ke Beijing pada jam 6.25 petang ini.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan pengusiran Ri ke negara asalnya kerana kekurangan bukti bagi menyabitkan dia dengan kes pembunuhan Jong Nam.
Tempoh reman warga Korea Utara berusia 47 tahun itu berakhir hari ini.
Ri ditahan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada 17 Februari lalu bagi membantu siasatan kematian Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.
Jong Nam yang tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu, sepatutnya menaiki penerbangan ke Macau pada 13 Februari lalu, apabila beliau didatangi 2 wanita didakwa menyapu mukanya dengan cecair toksik yang dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un itu dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), namun beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Seorang wanita dari Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, rakyat Vietnam, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang kelmarin atas dakwaan membunuh Jong Nam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.