Ambiga iring rakyat daftar mengundi di pejabat pos

Ambiga iring rakyat daftar mengundi di pejabat pos

Aktivis Bersih 2.0 turun ke Kuala Lumpur, Kuantan, Sabah dan Kedah mengajak orang ramai mendaftar sebagai pengundi.

ambiga
KUALA LUMPUR:
Bersih 2.0 hari ini memulakan kempen seluruh negara bagi menggalakkan seramai mungkin mendaftar sebagai pengundi sebelum akhir bulan ini.

Bekas pengerusinya Datuk S Ambiga hari ini turut berkempen di pintu masuk Pudu Sentral, malah mengiringi mereka yang berminat ke pejabat pos dan menunggu sehingga keseluruhan proses selesai.

“Kami ingin seramai mungkin mendaftar sebelum bulan ini berakhir, kerana kita tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan,” katanya kepada pemberita ketika program itu.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah pula berada di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Pahang untuk kempen ini.

Selain Kuala Lumpur dan Kuantan, kempen ini turut diadakan di Donggongon dan Inanam di Sabah, dan Alor Setar, Kuala Kedah dan Jitra di Kedah.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan setakat Februari, sejumlah 4.1 juta warga yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pengundi, dengan majoritinya golongan muda sekitar 21 tahun.

Ambiga berkata, kempen itu juga bertujuan menunjukkan kepada orang ramai betapa mudah dan cepat proses pendaftaran pengundi.

“Mungkin ramai yang rasa ia leceh. Tetapi seperti dapat dilihat tadi, selepas nombor giliran tiba, prosesnya tidak lebih 5 minit.

“Jika anda tidak dapat lakukan hal semudah ini untuk negara, kita berada dalam keadaan yang tidak bagus,” katanya.

Seramai 5 orang dibawa ke pejabat pos dan mendaftar sepanjang sejam program itu berlangsung.

Aktivis dan peguam hak asasi itu memaklumkan beliau akan “turun padang” setiap hujung minggu sepanjang kempen berlangsung.

Sementara itu, pengurus sekretariat Bersih Mandeep Singh berkata kempen pendaftaran pengundi semakin sukar selepas SPR tidak menyambung status penolong daftar pemilih (ARO) daripada NGO dan parti politik.

“Jadi kita terpaksa buat kempen seperti ini,” katanya.

Bersih sebelum ini mengecam SPR kerana tidak menyambung status ARO dan menyekat proses pendaftaran ARO dari NGO dan parti politik pada hujung 2013, menyebabkan jumlah pengundi baru turun mendadak untuk suku pertama tahun berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.