
Erin, wanita warga Indonesia berkongsi kisah hidupnya yang didera suami seorang rakyat Malaysia pada satu majlis bersama Pertubuhan Perlindungan Wanita (WAO), baru-baru ini.
Beliau menceritakan bagaimana perkahwinannya bertukar menjadi mimpi ngeri.
Dia mula didera apabila suami berjinak-jinak dengan dadah jenis metafetamin ketika anak kedua mereka berumur 2 tahun.
Suami Erin kemudiannya memulakan perniagaan sendiri dan dia berubah jadi pendiam dan kurang bercakap dengan isteri dan anak, selain banyak mengurung diri di dalam bilik.
Erin berkata penderaan fizikal bermula pada 2014 apabila suaminya bertukar menjadi ganas.
“Dia marah dan pukul saya, dia hantuk kepala saya ke dinding, tarik rambut dan cekik saya.
“Dia ikat dan cuba menanggalkan pakaian saya depan anak selain mencucuh badan saya dengan puntung rokok.
“Dia juga selalu pukul saya dengan kayu dan batang paip dan pernah sekali dia ugut saya dengan parang,” kata Erin.
Anak mereka menyaksikan sendiri semua perbuatan suaminya.
Erin bukan hanya didera secara fizikal tetapi psikologi juga.
“Dia menjatuhkan maruah saya dengan memanggil saya pelacur dan kata saya hanya bernilai RM20 seperti pelacur jalanan.
“Beginikah cara suami layan isteri?,” katanya.
Selain Erin, salah seorang anaknya juga menjadi mangsa apabila suami mencampakkan anaknya ke atas katil semasa dia mengadu lapar.
Katanya, dia pernah lari ke rumah salah seorang kawan tetapi suami pula enggan memperbaharui visanya.
“Suami datang minta maaf dan berjanji akan berubah, dan setuju memperbaharui visa saya.
“Suami juga enggan mendaftarkan kelahiran anak bongsu sehingga anak saya tidak ada sijil kelahiran,” katanya.
Erin berkata dia berlembut dengan suami kerana memikirkan tentang anak tetapi beberapa minggu kemudian, suami kembali melayannya dengan kasar.
“Saya pernah terfikir untuk membunuh diri, saya pecahkan cermin dan cuba mengelar pergelangan tangan kerana rasa saya tidak berguna.
“Kemudian saya terfikir nasib anak-anak, siapa yang akan jaga mereka jika saya mati,” katanya.