4 sekeluarga didakwa bunuh budak perempuan

4 sekeluarga didakwa bunuh budak perempuan

Pembunuhan didakwa berlaku minggu lalu selepas kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri.

taiping court
M Satis Kumar bersama isteri M Savathri  serta ibu bapanya S C Veeraletchumi  dan M Murali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping.
PETALING JAYA:
Empat sekeluarga dituduh di Mahkamah Majistret Taiping atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, minggu lalu.

Tertuduh, M Satis Kumar, 27, bersama isteri, M Savathri, 28, serta ibu bapanya, S C Veeraletchumi, 53, dan M Murali, 49, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R Prabakaran.

Menurut Kosmo, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Thanavitha di sebuah rumah di Taman Sungai Mas, Taiping dalam daerah Larut, Matang,dan Selama, pada waktu pagi, 26 Mac 2026.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Prosiding itu turut dihadiri tiga peguam pemerhati bagi mewakili keluarga mangsa, iaitu Dinesh Muthal, Devanisan Ganesan, dan Low Tze Ken.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 15 Mei, sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat, dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri dan didapati meninggal dunia bersama kesan kecederaan mencurigakan.

Berdasarkan bedah siasat, punca kematian kanak-kanak itu akibat cedera di kepala dan leher disebabkan trauma tumpul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.