4 suspek skandal hartanah Johor bebas

4 suspek skandal hartanah Johor bebas

Penyiasatan kes diteruskan, melibatkan 45 akaun bank milik bersama bernilai RM15.5 juta

sprm_bebas
JOHOR BAHRU:
Empat lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Perintah pembebasan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru Saba’aton Daud, selepas membenarkan permohonan SPRM.

Ia selari dengan tempoh reman ke atas mereka yang mencapai had maksimum 14 hari.

Bagaimanapun, siasatan lanjut ke atas keempat-empat suspek masih diteruskan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Keempat-empat mereka yang terdiri daripada anak dan pegawai khas seorang exco kerajaan negeri serta seorang peguam dan orang awam itu, merupakan antara 7 individu yang ditahan berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun, 3 lagi yang merupakan merupakan 2 pemaju dan seorang kontraktor dibebaskan, masing-masing pada 3 dan 7 Mac lalu, juga dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, 4 kenderaan yang membawa kesemua suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.28 pagi sebelum mereka dibawa masuk ke pejabat Saba’aton.

Kesemua suspek berumur antara 25 dan 50 tahun ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam operasi berasingan pada 24 dan 28 Feb.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,00 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.