
Lokman Mustafa ialah abang kepada Suhaili Mustafa, jurutera syarikat Freescale yang merupakan salah seorang penumpang pesawat malang itu.
Suhaili, 31, merupakan salah seorang daripada 20 pekerja syarikat itu – 12 warga Malaysia dan 8 warga China – yang menaiki pesawat dalam penerbangan ke Beijing, sebelum hilang daripada radar pada tengah malam 8 Mac, 2014.
Ia bukan kerana masih bersedih atau menyimpan kemarahan – beliau sudah melepasi fasa itu – tetapi kerana terlalu banyak misteri yang seakan-akan tidak mungkin terjawab.
“Sudah banyak kali saya dengar kata-kata ‘move on’ dan ‘teruskan kehidupan’. Tetapi bagi kami, ia seperti hidup terawang-awang,” katanya dalam wawancara bersama FMT semalam, ulang tahun ke-3 tragedi tersebut.
Ia ditambah dengan hakikat masih ada ahli keluarga yang “tertunggu-tunggu” kepulangan penumpang pesawat itu.
“Masih banyak yang belum terjawab, dan seperti tidak akan terjawab. Mungkin jika ada penamat (closure) yang wajar, tetapi apa pula penamat yang wajar bagi MH370?
Saya tidak mampu menjawabnya,” kata Lokman, seorang penulis.
Pencarian seluas puluhan ribu persegi kilometer di Lautan Hindi selatan, melibatkan pelbagai negara dan belanja ratusan juta ringgit, tetapi kekal menjadi salah satu misteri industri penerbangan abad ini.
Pada 29 Januari 2015, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat itu sebagai “kemalangan” dan kesemua 239 penumpang meninggal dunia.
Pada 17 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pencarian akan diteruskan jika ada “maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh”.
Perbezaan antara ahli keluarga
Lokman boleh menerima dakwaan pesawat itu terhempas di Lautan Hindi.
Tetapi beliau mengakui tidak dapat menyokongnya dengan apa-apa hujah.
“Hati saya berkata demikian. Mungkin kerana lautan ini luas. Jika bumi adalah titik kecil dalam cakerawala, kita pula titik kecil bagi lautan.”
Namun, katanya, pandangan itu tidak dikongsi oleh ibu bapanya yang masih menyimpan harapan anak mereka masih hidup.
“Mereka akan mengatakan serpihan yang ditemui itu palsu, hanya mengada-adakan bukti.
“Selagi bahagian kapal terbang yang benar-benar menunjukkan MH370, seperti fiuslaj (badan kapal), tidak dijumpai, saya merasakan sukar untuk mereka terima,” katanya.
“Saya percaya ada keluarga lain juga begini, yang percaya ia adalah konspirasi. Tetapi kita jangan memperlekehkan mereka, kerana kita pun sebenarnya tidak tahu,” katanya.
Mengimbas kembali pengalaman itu, beliau berkata kemarahannya adalah pada tempoh awal MH370 hilang dari radar, kerana menurutnya pihak bertanggungjawab lambat bertindak.
“Kini menteri pengangkutan cakap kerajaan habiskan RM456 juta untuk proses pencarian, tapi bagi saya kerosakan sudah dilakukan pada tempoh awal (pesawat hilang),” katanya memetik kenyataan Liow di Dewan Rakyat semalam.
Harapan Lokman kini hanyalah supaya kejadian seperti itu tidak menimpa mana-mana keluarga.
“Sama juga seperti kemalangan pesawat MH17 (Julai 2014). Saya harap ia tidak akan menimpa sesiapa.
“Saya juga berharap misteri ini boleh dirungkai, walaupun tidak nampak caranya. Mungkin pada masa akan datang, ketika kita sudah ada teknologi yang lebih canggih,” katanya lagi.