MAG catat untung empat tahun berturut-turut

MAG catat untung empat tahun berturut-turut

Ketua pegawai eksekutif Nasaruddin Bakar berkata prestasi dipacu pertumbuhan hasil stabil dan kawalan kos berdisiplin.

malaysia airlines
Malaysia Aviation Group, syarikat induk Malaysia Airlines, mencatat lonjakan keuntungan bersih daripada RM54 juta pada 2024 kepada RM137 juta pada 2025.
KUALA LUMPUR:
Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, mencatat prestasi kewangan lebih kukuh tahun lalu, sekali gus merekodkan keuntungan bagi tahun keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasaruddin Bakar berkata keuntungan bersih MAG meningkat lebih dua kali ganda kepada RM137 juta pada 2025 berbanding RM54 juta pada 2024, manakala hasil meningkat 6% kepada RM14.5 bilion.

Beliau berkata pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencecah RM1.6 bilion tahun lalu berbanding RM788 juta pada 2024.

“Walaupun kapasiti meningkat dengan ketara, kos hanya naik sedikit, menunjukkan kami terus mengurus perbelanjaan secara proaktif dan berdisiplin,” katanya pada taklimat ulasan 2025 MAG di sini hari ini.

“Penstrukturan semula kewangan kami telah menstabilkan perniagaan dan menjadi asas untuk hala tuju masa depan.”

Nasaruddin berkata operasi kumpulan turut bertambah baik, dengan prestasi ketepatan masa meningkat kepada 81%.

Tahap kepuasan pelanggan juga meningkat, dengan indeks kepuasan naik kepada 84% pada 2025 berbanding 80% tahun sebelumnya, disokong penambahbaikan perkhidmatan dan pengenalan pesawat baharu.

Beliau berkata MAG menerima 24 pesawat pada 2025 dan menjangkakan kira-kira 10 lagi penghantaran pada 2026, manakala pelan jangka panjang untuk memperbaharui armada pesawat berbadan lebar masih diteruskan.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata kenaikan harga bahan api dan ketegangan geopolitik susulan konflik Timur Tengah kekal sebagai risiko utama, dengan bahan api merangkumi kira-kira 40% kos operasi kumpulan.

Tambahnya, MAG akan terus memantau keadaan pasaran dengan teliti dan menyesuaikan strategi mengikut perkembangan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.