Nilai perdagangan Malaysia-Korea Utara terlalu kecil, kata Ahmad Maslan

Nilai perdagangan Malaysia-Korea Utara terlalu kecil, kata Ahmad Maslan

Apa yang berlaku antara Malaysia dengan Korea Utara tidak akan menjejaskan perdagangan kita di rantau Asean

Ahmad-Maslan_korea_60
KUALA LUMPUR:
Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Korea Utara terlalu kecil iaitu RM18.9 juta, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut timbalan menterinya Datuk Ahmad Maslan, konflik antara Malaysia dengan negara itu tidak akan menjejaskan perdagangan di rantau Asean.

“Jumlah import Malaysia ke Korea Utara hanya RM8.2 juta, sementara eksport ke sana pula RM10.7 juta.

“Ia terlalu kecil dan tidak signifikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan faedahnya kepada ekonomi negara.

RCEP merupakan kerjasama perdagangan Asean dengan 6 negara iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Ahmad membandingkan nilai perdagangan Malaysia dengan kerjasama itu yang jauh lebih besar berbanding dengan Korea Utara, iaitu sejumlah RM1.49 trilion.

“Dengan jumlah perdagangan yang kecil, apa yang berlaku di antara Malaysia dengan Korea Utara tidak akan menjejaskan perdagangan kita di rantau Asean,” katanya lagi.

Malaysia antara sejumlah kecil negara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis itu bermula pada 1973.

Pada 2000, Malaysia membenarkan warga Korea Utara masuk ke negara ini tanpa visa dan Korea Utara membuat keputusan sama kepada rakyat Malaysia 9 tahun kemudian.

Walaupun hubungan antara 2 negara yang semakin tegang ekoran pembunuhan Kim Jong Nam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata Malaysia akan mengekalkan hubungan dengan negara “terasing” itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.