
Apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Feb, perhatian dunia tertumpu kepada kapasiti ketenteraan dan geopolitik.
Namun dalam beberapa hari sahaja, kesannya mula dirasai di rantau kita— di stesen minyak, di pasar raya, dan dari segi kos menjalankan perniagaan.
Bagi Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara, konflik yang berlaku ribuan kilometer jauhnya kini mempengaruhi harga barang asas, bekalan tenaga, serta prospek pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
Kejutan global yang dirasai di peringkat tempatan Selat Hormuz — laluan sempit antara Iran dan Oman — merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia. Kira-kira satu perlima bekalan minyak global dan sebahagian besar gas asli cecair (LNG) melalui laluan ini.
Apabila Iran bertindak menyekat laluan itu, pergerakan kapal tangki hampir terhenti dan bekalan tenaga dunia terganggu secara mendadak. Harga minyak mentah Brent meningkat daripada sekitar USD70 kepada melebihi USD100 setong dalam tempoh sepuluh hari, dan kini didagangkan sekitar USD120.
Harga LNG di Asia pula melonjak lebih 140%. Namun kesannya tidak terhad kepada tenaga sahaja. Rantau Teluk juga pengeluar utama baja, bahan petrokimia dan helium. Gangguan kepada bekalan ini memberi kesan berantai kepada sektor pertanian, pembuatan semikonduktor, dan industri makanan di seluruh dunia.
Malaysia bukan sekadar pengimport tenaga — kita mempunyai kapasiti pengeluaran sendiri melalui Petronas, dan kenaikan harga minyak turut meningkatkan hasil negara. Namun pada masa yang sama, kebergantungan kepada import masih tinggi.
Tahun lalu, sekitar 69% import minyak mentah dan kondensat Malaysia datang dari Timur Tengah. Ini bermakna gangguan di rantau tersebut tetap memberi kesan kepada ekonomi domestik.
Beberapa kesan awal telah mula kelihatan: pengeluar makanan memberi amaran kenaikan harga akibat kos diesel, pengeluar baja menangguhkan tempahan baharu yang boleh menjejaskan pengeluaran sawit dan industri semikonduktor menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan helium.
ASEAN semakin tertekan
Di peringkat serantau, konflik ini mendedahkan betapa terhadnya simpanan tenaga di pelbagai negara Asia Tenggara. 65 hingga 95% bekalan minyak mentah Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bergantung pada import.
Walaupun Malaysia pengeksport tenaga bersih, 69 peratus import minyak mentahnya adalah dari Teluk. Ini bermakna tiada satu pun negara di rantau ini yang tidak terkesan.
Beberapa langkah yang mirip dengan tindakan semasa COVID-19 telah diambil: Filipina melaksanakan minggu kerja empat hari bagi sektor kerajaan, Thailand dan Vietnam menggalakkan kerja dari rumah, Myanmar mengenakan had penggunaan kenderaan secara bergilir hari dan Malaysia turut melaksanakan program bekerja dari rumah untuk sektor awam.
Dalam masa yang sama, kekurangan bahan api mula dilaporkan di Laos, Kemboja dan sebahagian Thailand.
Rangkaian tenaga serantau berada di bawah tekanan yang amat berat, apabila China dan Thailand mengehadkan eksport bahan api bertapis dan pelbagai negara mengutamakan bekalan domestik.
Vietnam pula telah menggantung eksport bahan api manakala Thailand melarang eksport bahan api jet. Beberapa syarikat petrokimia di Singapura dan Indonesia telah pun mengisytiharkan force majeure.
Menteri-menteri ekonomi ASEAN telah memberi amaran bahawa kos penghantaran, insurans dan logistik telahpun merancakkan tekanan inflasi yang bakal meningkatkan harga makanan dan barangan keperluan serantau.
Malaysia masih mempunyai kelebihan — setakat ini
Berbanding beberapa negara jiran, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih stabil. Dalam situasi di mana rizab Vietnam berada pada paras yang membimbangkan, Kemboja terpaksa bergegas mengimport bekalan kecemasan, dan Filipina mengurangkan minggu bekerja sektor awam kepada empat hari, keputusan kerajaan Malaysia mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95 telah melindungi puluhan juta rakyat daripada kejutan harga yang lebih teruk, pada saat pengguna di negara lain berdepan kenaikan antara 30 hingga 50%.
Selain itu, mekanisme kawalan harga barangan asas — yang sering dipersoalkan dalam keadaan biasa — terbukti penting dalam mengekang tekanan inflasi ketika krisis di saat negara lain bersiap menghadapi lonjakan.
Usaha diplomatik turut memainkan peranan penting. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah berhubung dengan pemimpin di Iran, Mesir, Turki dan negara lain bagi memastikan kapal Malaysia masih mendapat laluan yang selamat melalui kawasan tersebut – satu kelebihan yang lahir daripada dasar Malaysia sejak sekian lama untuk mengekalkan hubungan baik di seluruh dunia Islam.
Dalam hal ini, diplomasi diterjemahkan secara langsung kepada kapal yang dapat berlayar, bekalan bahan api yang tiba, dan rantaian bekalan yang terus bertahan ketika negara lain mula lumpuh.
Apabila digabungkan dengan kepakaran Malaysia dalam sektor pembuatan bernilai tinggi serta asas perindustrian yang pelbagai, negara ini sedang menghadapi badai ini dari kedudukan yang boleh dikatakan kukuh-hasil daripada puluhan tahun pembangunan institusi dan pengurusan krisis yang aktif.
Cabaran sememangnya tetap wujud: harga makanan akan terus menerima tekanan apabila kos logistik dan baja meningkat, dan isi rumah B40 akan paling terkesan. Namun benteng yang wujud hari ini ‘menyediakan’ tempoh masa yang amat berharga untuk Malaysia — satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negara jiran.
Melangkah ke hadapan
Krisis ini sebenarnya mempercepatkan lagi usaha ke arah tenaga boleh baharu. Malaysia ada kelebihan besar dalam solar dan hidro, dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah dari Timur Tengah kini menjadi soal keselamatan negara. Dalam masa yang sama, projek ASEAN Power Grid — jaringan elektrik serantau — kembali diberi perhatian yang lebih serius.
Pengajarannya juga melangkaui sektor tenaga. Negara ASEAN saling melengkapi — Indonesia dan Thailand dalam pertanian, Malaysia dan Singapura dalam semikonduktor, Vietnam dalam pembuatan, dan Filipina dalam perkhidmatan.
Tetapi perdagangan intraASEAN masih di sekitar 22%sahaja, jauh lebih rendah daripada Kesatuan Eropah. Hakikatnya, kita masih lebih banyak berdagang dengan negara di luar rantau ASEAN berbanding jiran sendiri.
Jika ASEAN dapat membina rantaian bekalan yang lebih efisien dan kukuh — melibatkan makanan, baja, farmaseutikal dan bahan industri — kita akan kurang terdedah kepada gangguan luar. Ini boleh berlaku jika kita kurangkan halangan bukan tarif, perbaiki logistik serantau, selaraskan standard, dan wujudkan stok simpanan bersama untuk komoditi penting dan strategik.
Larangan eksport dan penimbunan bekalan yang berlaku baru-baru ini adalah satu peringatan. Jika ASEAN gagal bekerjasama ketika krisis, usaha integrasi ekonomi hanya tinggal cakap kosong. Tetapi jika kita berjaya, ASEAN akan jadi lebih kuat.
Konflik di Iran mengingatkan kita bahawa tiada negara yang benar-benar kebal daripada kesan konflik global. Namun ia juga mengingatkan kita bahawa persediaan itu penting, institusi itu penting, dan pilihan yang dibuat oleh kerajaan pada waktu biasa menentukan sejauh mana rakyat dilindungi pada waktu yang luar biasa.
Rakyat Malaysia boleh berasa yakin bahawa negara ini memasuki krisis ini dengan tahap kesiapsiagaan yang lebih baik daripada kebanyakan negara lain. Tugas sekarang — bagi Malaysia dan bagi ASEAN — ialah memastikan bahawa apabila gangguan seterusnya berlaku, rantau ini berada dalam keadaan yang lebih bersedia.
Tengku Zafrul Aziz ialah penasihat kanan politik kepada perdana menteri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.