
Ia diumumkan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin, susulan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 3 Feb lalu.
Mesyuarat itu antara lain berpandangan bukan Islam tergolong sebagai salah satu daripada 8 asnaf (golongan layak menerima zakat).
Menurutnya, bukan Muslim boleh dikategorikan sebagai “muallafah qulubuhum” atau golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.
“Ini seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada golongan yang bukan Muslim dari kalangan musyrikin dan pembesar-pembesar kaum seperti yang tercatat di dalam riwayat-riwayat sirah yang sahih,” menurut kenyataan Jabatan Mufti Negeri Perlis yang dimuat naik Asri hari ini.
Zakat merupakan salah satu daripada 5 Rukun Islam.
Lapan asnaf zakat ialah golongan fakir, miskin, petugas pungutan zakat, muallaf, riqab (mereka yang terbelenggu di bawah suatu kuasa), gharimin (penghutang yang tidak dapat membayar hutang), fisabilillah (mereka yang berjuang menegakkan agama Allah), dan Ibnus Sabil (mereka yang terputus bekalan dalam pengembaraan).