PKR Johor: Mana lagi RM200 juta hasil pelepasan status Bumiputera

johor-mcmcPETALING JAYA: PKR negeri menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap Tabung Hartanah Bumiputera Johor.

Ini kerana terdapat perbezaan antara angka yang diumumkan Menteri Besar Datuk Khaled Nordin 2 Mac lepas dengan angka yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri tahun lalu.

“Kenyataan Khaled pada 2 Mac lalu menyatakan jumlah sumbangan yang diperolehi sejak 2013 yang dimasukkan ke dalam tabung perumahan Bumiputera adalah sebanyak RM600 juta,” kata Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim.

“Tetapi kenyataan itu berbeza dengan jawapan Khaled kepada Adun Bukit Batu (Jimmy Puah) pada sidang DUN April tahun lalu memaklumkan jumlah unit lot Bumiputera yang dilepaskan dari tahun 2013 sehingga April 2016 adalah 4,503 unit manakala jumlah pungutan pula lebih RM332 juta,” katanya kepada FMT.

Pada 2 Mac lepas, Khaled berkata kerajaan negeri membenarkan status rumah mewah Bumiputera ditukar kepada bukan Bumiputera dalam usaha mengurangkan lambakan kediaman mewah.

Menurut Khaled, pelepasan status hanya terhad kepada rumah mewah, tidak membabitkan rumah kos rendah atau mampu milik dan menjadi amalan kerajaan negeri sejak dulu.

Hassan berkata angka yang diumumkan Khaled itu mengelirukan kerana kenyataan itu bukan daripada penyata perakaunan dan tidak disokong dokumen atau penyata bertulis.

“Bayangkan jurang jumlah yang dimaklumkan itu ada banyak perbezaan. Mana lagi RM200 juta lebih itu. Kalau ada tidak apa, tetapi kalau tidak ada, masuk ke tidak duit itu dan mesti disokong dengan penyata akaun rasmi.

“Kita juga berpandangan jawapan bertulis pada tahun lalu itu adalah benar. Ini kerana penyata itu dibentangkan di dalam DUN Johor.”

Semalam, seorang exco kerajaan negeri ditangkap dan direman 7 hari berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor.

Pada hari yang sama, 4 individu lain, termasuk anak dan pegawai khas exco yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.