PDRM selamatkan 20 wanita asing mangsa eksploitasi seks

PDRM selamatkan 20 wanita asing mangsa eksploitasi seks

Mereka yang diselamatkan terdiri daripada 19 wanita warga Myanmar berbangsa Shan dan seorang wanita Vietnam.

Datuk-Gan-Tian-Kee
IPOH:
Unit Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Orang (ATIPSOM) Bukit Aman menyelamatkan 20 wanita warga asing mangsa eksploitasi seks dalam satu operasi di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata kesemua mangsa diselamatkan dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan di Jalan Kampar kira-kira pukul 5.45 petang.

Bernama melaporkan, mereka yang diselamatkan terdiri daripada 19 wanita warga Myanmar berbangsa Shan dan seorang wanita Vietnam.

“Dalam serbuan itu, lima lelaki turut ditahan terdiri daripada seorang penjaga pintu bawah; penjaga kaunter, kapten dan dua pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini lewat malam tadi.

Tian Kee memberitahu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,670 selain beberapa barangan termasuk 175 kondom; dua ‘walkie talkie’; dua televisyen dan empat telefon bimbit.

Katanya, turut dirampas masing-masing 2 perakam kamera litar tertutup, alat kawalan jauh pintu rahsia, alat kawalan jauh pintu utama serta satu lesen perniagaan dan satu mesin pengira.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 dan 14 ATIPSOM 2007.

Kejayaan unit ATIPSOM itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengucapkan syabas menerusi catatan di akaun Twitternya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.