
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata proses itu bermula 9.30 malam 24 Feb dan selesai 4.12 pagi 25 Feb, melibatkan 10 penganut serta wakil pengurusan kuil.
“Seramai 10 orang penganut dan wakil dari pihak pengurusan kuil telah menjalankan kerja-kerja pemindahan kesemua empat patung berhala.
“Sepanjang proses tersebut berlangsung tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemilik tanah turut memulakan kerja pembersihan tapak sejurus urusan pemindahan selesai.
Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun ditahan kerana disyaki merobohkan sebahagian struktur kuil berkenaan tanpa sebarang permakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Polis turut merampas sebuah jengkaut dalam operasi tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membatalkan perintah reman dua hari yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang terhadap semua suspek dan mereka dibebaskan serta-merta.
Shazeli mengingatkan semua pihak supaya menghormati saluran perundangan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat keharmonian kaum serta agama.
“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah,” katanya.
Beliau berkata polis akan memantau sebarang penularan maklumat di media sosial dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran kandungan berunsur 3R (agama, bangsa dan diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Difahamkan, Kuil Sri Uchimalai Muniswarman dibina di atas tanah milik sebuah yayasan dan kerja perobohan itu didakwa dilakukan atas kehendak pemilik tanah.