Internet laju, murah dalam tempoh 2 tahun lagi, kata menteri

Internet laju, murah dalam tempoh 2 tahun lagi, kata menteri

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata perkhidmatan yang laju dan murah akan meningkatkan kedudukan Malaysia bagi perbandingan kelajuan Internet.

sallehkeruak-internet-laju
PETALING JAYA: Langkah menggandakan kelajuan Internet dan menurunkan separuh daripada harga yang ditetapkan pada masa ini akan dilakukan dalam masa 2 tahun, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata ia akan meningkatkan kedudukan Malaysia bagi perbandingan kelajuan Internet.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam proses penyusunan semula spektrum yang dijangka selesai pertengahan tahun ini.

“Selesai tempoh ini, kelajuan Internet mudah alih juga berpotensi meningkat melalui lebih banyak perkhidmatan 4G/LTE dilaksanakan seluruh negara,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata negara akan kerugian jika kelajuan Internet lebih perlahan berbanding negara lain di rantau ini.

Lim berkata Malaysia akan ketinggalan dalam “ekonomi Internet” jika kelajuan rangkaian kekal rendah berbanding pemain utama di rantau ini.

Salleh bagaimanapun berkata melalui pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2016, Telekom Malaysia mula melaksanakan rangkaian tetap.

Katanya, ia membolehkan kelajuan Internet di Malaysia meningkat dua kali ganda pada harga yang sama.

“Kelajuan daripada 5Mbps dinaikkan ke 10Mbps, 10Mbps ke 30Mbps dan 20Mbps ke 50Mbps pada harga langganan yang sama.

“Purata bagi Malaysia diambil kira bagi seluruh negara termasuk di bandar dan pedalaman manakala Singapura merupakan ‘city state’,” katanya.

Syarikat internet Akamai Technologies Inc pada suku pertama tahun lepas melaporkan purata kelajuan Internet Malaysia adalah 6.4 megabait sesaat (Mbps).

Malaysia juga berada di tangga ke-74 di dunia pada 2016, jatuh 1 tangga berbanding 2015. Di Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara.

Laporan Keadaan Internet bagi kawasan Asia Pasifik oleh Akamai melaporkan Korea Selatan berada di kedudukan teratas dengan purata kelajuan 29Mbps, diikuti Hong Kong (19.9Mbps) dan Jepun (18.2Mbps).

Singapura di tangga ke-4 dengan purata kelajuan 16.5Mbps, diikuti Taiwan (14.8Mbps), Thailand (10Mbps) dan New Zealand (10.5Mbps).

Australia pula ke-8 terlaju dengan 8.8Mbps, diikuti Malaysia (6.4Mbps), Sri Lanka (5.4Mbps), Vietnam (5Mbps), Indonesia (4.5Mbps), China (4.3Mbps), Filipina (3.5Mbps) dan India (3.5Mbps).

P Pinang mahu internet sepantas Singapura

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.