
Annuar yang dipetik Sin Chew Daily berkata, beliau ialah mangsa dalam perbalahan dalaman Umno dan menafikan penggantungan jawatan itu bukan kerana beliau mempengaruhi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.
“Ada orang dalam parti yang ‘tidak selesa’ dengan tindakan saya menyokong kerajaan mengiktiraf UEC dan berpendirian terbuka terhadap banyak isu, termasuk menyokong UniKL mengambil lepasan UEC. Mereka menggunakan alasan itu untuk menjatuhkan saya, supaya saya keluar dari arena politik.
“Hari ini saya mahu beritahu anda suara hati saya. Ini bukan perkara biasa atau (disebabkan) Lembaga Pengarah Mara mengadakan mesyuarat untuk siasat saya menggunakan sumber dalaman bagi menaja pasukan bola sepak Kelatan. Ini perbalahan dalaman.
“Sepuluh hari sebelum saya digantung daripada jawatan, ada orang tertentu dalam kumpulan WhatsApp ugut akan siasat saya,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau ada menyimpan tangkap layar beberapa “perbualan” sama sebelum ini.
Beliau mengakui Mara sememangnya menghadapi masalah dan wujud perbezaan pendapat, serta beliau sering diugut.
“Ada orang yang tidak suka saya, salah satu sebab mungkin kerana saya menggesa kerajaan mengiktiraf UEC. Sejak membuat kenyataan UniKL patut mengambil lepasan UEC, saya terima beberapa mesej jahat, saya tak mahu kata siapa penghantarnya, tetapi mesej jahat ini menyebabkan keadaan lebih sukar.
“Sesetengah orang ingat saya mahu melangkaui mereka. Ada yang fikir saya membuat keputusan tanpa mendapat pandangan mereka, ingat saya mahu menggantikan mereka.”
Annuar digantung jawatan sebagai pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) selepas mesyuarat khas Ahli Majlis Mara pada 31 Januari lalu.
Ia disusuli pertemuan Annuar bersama wakil Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 7 Februari lalu dan berkata isu pengiktirafan UEC harus diselesaikan sebaik mungkin.
“Apabila kita bekerjasama, kita tidak prejudis dan tidak berfikiran sempit, maka ia tidak akan menjadi ‘stumbling block’.
“Dalam negara kita ini, ia akan menjadi penghalang kalau kita bersifat negatif. Perbezaan kaum dan agama seharusnya dijadikan kekuatan kita. Jadi, saya tidak fikir apa yang dilakukan Persatuan Dong Zong (untuk iktiraf UEC) sebagai penghalang,” kata Annuar pada bulan lalu.
Sementara itu, Annuar yang dipetik Sin Chew Daily berkata, beliau mahu kerajaan mengiktiraf UEC dan sokongannya itu bukan bertujuan meraih populariti.
Katanya, walaupun tindakannya tidak disokong orang Melayu mahupun pemimpin Umno, tetapi beliau akan terus “melakukan perkara betul”.
Beliau berkata, antara punca UEC tidak diiktiraf kerajaan ialah subjek Sejarah dan bahasa Malaysia, ia tiada kaitan dengan kualiti akademik UEC.
“Saya sangat yakin masalah kecil dalam subjek Sejarah dan bahasa Malaysia boleh diatasi, ia tidak memerlukan masa terlalu panjang, Dong Zong dan Kementerian Pendidikan sudah menubuhkan jawatankuasa untuk membincangkan perkara berkaitan pengiktirafan.
“Sebagai pemimpin kepada rakyat berbilang kaum, kita tidak boleh mempunyai pemikiran sempit. UEC sudah diiktiraf universiti terkemuka dunia, UniKL sebaliknya menutup pintu kepada lepasan UEC, dalam jangka panjang siapa yang rugi?”
Annuar mendakwa mesyuarat khas Ahli Majlis Mara pada 31 Januari lalu dirancang terlebih dahulu dan semuanya bermula dengan satu catatan Facebook oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau turut mendakwa ada kakitangan Mara yang mendedahkan dokumen sulit kepada Tunku Ismail.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu merujuk catatan Facebook Johor Southern Tigers antara lain mendakwa UniKL dan PMB yang merupakan agensi kerajaan masing-masing menaja skuad Kelantan RM500,000 dan RM200,000 membabitkan penyalahgunaan dana kerajaan.